Saingan AFC Champions League (ACL) zon timur kini sedang berlangsung sejak 18 November di Doha, Qatar. Ia melibatkan pasukan dari Australia, Jepun, Korea, China, dan Thailand.

Wakil Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) telah menarik diri disebabkan oleh larangan kerajaan yang tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Ketiadaan JDT juga bermakna semua keputusan perlawanan yang melibatkan skuad harimau selatan dalam kumpulan G sebelum ini dianggap batal. Untuk mengelakkan keraguan, semua mata dan gol dalam perlawanan tersebut tidak akan dipertimbangkan bagi menentukan kedudukan akhir di peringkat kumpulan.

Namun begitu, Vissel Kobe berjaya mengesahkan tiket ke pusingan 16 (kalah mati) apabila menewaskan skuad kendalian Fabio Cannavaro iaitu Guangzhou Evergrande, 3-1 di Stadium Antarabangsa Khalifa semalam.

08840853
FOTO: The National

Ini adalah kemenangan kedua mereka selepas menewaskan Suwon Samsung Bluewings, 1-0 pada 19 Februari lepas sekaligus mengukuhkan kedudukan teratas kumpulan dengan 6 mata penuh.

Lebih menarik, Andres Iniesta menjaringkan gol pertama beliau dalam saingan ACL pada minit ke 84 selepas rakan sepasukannya menyumbat dua lagi gol pada minit ke 44 dan 74.

Jaringan tersebut turut meningkatkan semangat Iniesta untuk membantu pasukan mencapai sasaran layak ke final.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Itu tidak mudah di Jepun, tetapi dalam pertandingan yang berbeza mungkin para pemain memiliki motivasi yang berbeza,” kata pemenang Piala Dunia 2010 ketika bersama Sepanyol.

“Persaingan tahap tinggi ini dapat mendorong kita mempamerkan prestasi yang lebih baik. Ini adalah perlawanan pertama kami, dan kami mahu bermain di sini sehingga perlawanan akhir. Itulah sasaran kami,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Dato’ Windsor John: Penarikan Diri JDT Daripada ACL Tidak Beri Kesan Pada Kedudukan Mata Dan Slot MA

BG Pathum United Sahkan Tempat Dalam Saingan AFC Champions League Musim 2021

Hajat Han Kwang-song Beraksi Di Malaysia Tidak Kesampaian Kerana Isu Gaji