Salah satu wakil Asia Tenggara dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2020, Chiangrai United mengalami kekalahan kedua pada perlawanan peringkat kumpulan E apabila tewas kepada Beijing Guoan dengan keputusan 1-0.

Chiangrai dalam misi untuk meraih kemenangan setelah tewas kepada Melbourne Victory pada perlawanan pertama namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila Wang Ziming menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus memberi kemenangan kepada Beijing.

Ziming bijak untuk menyempurnakan hantaran daripada Jonathan Vieira setelah pemain dari Sepanyol itu membuat larian yang berjaya memecahkan benteng Chiangrai pada minit ke-23.

Setelah ketinggalan, Chiangrai cuba untuk mencari jaringan bagi menyamakan kedudukan namun ketangkasan penjaga gol Beijing, Hou Sen menafikan peluang yang dimiliki oleh pasukan tuan rumah.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus memberikan tiga mata pertama untuk wakil Chinese Super League (CSL) itu.

Pada perlawanan seterusnya, Chiangrai akan berdepan FC Seoul manakala Beijing akan turun berdepan Melbourne Victory.

Baca artikel lain mengenai Chiangrai United di sini:

JDT Dan Chiangrai United Wakil Asean Dalam Saingan AFC Champions League 2020

Chiangrai United Hanya Akan Lepaskan Ekanit Panya Ke Pasukan Luar Negara