Ketua jurulatih kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Abu Bakar Fadzim mengakui tertarik dengan aksi pemain muda kelab itu, Mukhairi Ajmal ketika mewakili skuad Malaysia B-18 dalam saingan AFF B-18 di Vietnam baru-baru ini.

Pemain tengah yang berusia 17 tahun itu menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi yang menarik di bahagian tengah skuad negara. Kehadiran pemain itu tepat pada masanya ketika negara masih ketandusan pemain tengah berkaliber selepas era Safiq Rahim.

Baca: 5 Pemain Malaysia Yang Menyinar Dalam Kejohanan AFF B-18 Pilihan Vocket FC

Justeru itu, Abu Bakar bercadang untuk ‘naikkan pangkat’ pemain tersebut untuk berada dalam kesebelasan utama skuad senior PKNP FC tetapi khidmatnya tidak dapat digunakan untuk perlawanan menentang JDT di Stadium Larkin dalam aksi Piala Malaysia malam ini.

Beliau dijangka akan diturunkan pada perlawanan Piala Malaysia menentang UiTM FC pada 13 September dan Petaling Jaya City pada 17 September 2019.

“Saya telah menonton persembahannya di Ho Chin Minh di kaca TV, dia pamerkan corak permainan yang menyakinkan di bahagian tengah. Semua orang sedang bercakap pasal dia dan ianya bagus untuk perkembangan dirinya,” kata Abu Bakar seperti dipetik dalam The Star

69446354_1149451641906992_6143723637712093184_o

FOTO: Sportflex Malaysia

Abu Bakar juga mahu memberikan lebih banyak minit permainan kepada Mukhairi Ajmal dalam skuad senior supaya dapat meningkatkan lagi prestasi pemain itu dan memberi pengalaman beraksi di peringkat tertinggi dalam saingan domestik.

“Dia kelihatan yakin jika berdepan lawan yang hebat. Saya fikir dia akan memainkan peranan yang penting dalam kempen Piala Malaysia. Saya mahu memberikan lebih banyak minit permainan kepadanya tetapi Mukhairi perlu tahu bermain dengan sabar,” tambahnya.

Sebelum ini, Mukhairi pernah beraksi dalam saingan Liga Super apabila dimasukkan sebagai pemain gantian sebanyak dua kali. Bagaimanapun, Abu Bakar menyifatkan perjalanan pemain itu dalam kerjaya bola sepak masih jauh.

“Perkara yang paling kritikal ialah memastikan beliau terus pamerkan prestasi yang konsisten. Dia ada fizikal, kemampuan teknikal dan pemikiran tetapi tiada gunanya jika dia hanya bagus dalam 3 serta 4 perlawanan kemudian merosot,” jelas Abu Bakar.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group