Roman Abramovich akhirnya mengesahkan bahawa akan menjual kelab kesayangannya, Chelsea hanya beberapa hari selepas beliau memilih untuk menyerahkan tanggungjawab dalam mengurus serta mengendalikan The Blues kepada yayasan kelab tersebut.

Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut telah diumumkan Abramovich dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang kelab yang berpangkalan di London itu.

Atas dasar tanggungjawab dan rasa cintanya terhadap pasukan yang dimilikinya sejak tahun 2003 itu, Abramovich menegaskan tidak akan menuntut sebarang hutang daripada kelab tersebut.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Chelsea yang menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu telah berhutang secara peribadi dengan Abramovich dengan nilai berjumlah £2 bilion.

Malah, beliau juga mahu kesemua hasil daripada penjualan kelab tersebut disalurkan kepada yayasan yang akan ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu mangsa perang di Ukraine.

“Saya ingin menangani spekulasi di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung pemilikan saya terhadap Chelsea FC. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya sentiasa mengambil keputusan dengan mengutamakan kepentingan kelab.”

“Dengan keadaan semasa, saya telah mengambil keputusan unntuk menjual kelab ini, dimana saya percaya ini demi kepentingan terbaik pasukan, para penyokong, kakitangan serta sudah pastinya buat penaja kelab dan rakan kongsi.”

“Penjualan kelab ini tidak akan berlaku dengan pantas tetapi ia akan mengikut proses yang sewajarnya. Saya tidak akan meminta untuk sebarang pinjaman balik [hutang pasukan]. Ia tidak pernah berkaitan dengan perniagaan atau wang bagi saya, tetapi kerana semangat murni terhadap sukan dan kelab ini.”

“Selain itu, saya telah mengarahkan pasukan saya untuk mewujudkan yayasan amal dimana semua perolehan bersih berhubung penjualan ini akan didermakan. Yayasan itu akan memberikan manfaat kepada semua mangsa dalam peperangan di Ukraine.

”Ia termasuk menyediakan dana kritikal untuk keperluan mendesak dan segera yang diperlukan mangsa, serta menyokong gerak kerja pemulihan jangka panjang.”

“Harap maklum bahawa ini merupakan keputusan yang sangat sukar untuk diambil dan ia amat menyakitkan buat saya untuk meninggalkan kelab dengan cara sebegini. Bagaimanapun, saya percaya ini merupakan yang terbaik buat kelab.”

“Saya berharap saya boleh melawat ke Stamford Bridge buat kali terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua secara peribadi. Menjadi sebahagian daripada Chelsea FC adalah sesuatu yang istimewa seumur hidup dan saya berbangga dengan semua pencapaian diraih bersama.”

“Kelab Bola Sepak Chelsea dan para penyokongnya sentiasa berada di dalam hati saya,” ujar Roman Abramovich.

Mengambil alih Chelsea pada tahun 2003 dengan nilai £140 juta, Abramovich telah mencurahkan segala baktinya dengan menjadikan The Blues sebagai antara pasukan yang digeruni dalam kancah bola sepak Eropah.

Chelsea telah memenangi 21 trofi sepanjang 19 tahun dibawah ‘rejim’ Abramovich yang mana mereka berjaya menjulang Piala Dunia Kelab FIFA, Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa sebanyak dua kali.

Di peringkat domestik pula, Chelsea telah memenangi masing-masing lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala FA serta tiga kali bergelar juara Piala Liga [kini Piala Carabao].

Sumber