Kelab Liga Super India, ATK Mohun Bagan dijangka membariskan skuad terbaik dalam aksi separuh akhir Piala AFC (AFC Cup) Antara Zon menentang wakil negara, KL City di Stadium Salt Lake, Kolkata, India, malam esok.

Ini merupakan aksi pertama Mohun Bagan di pentas antarabangsa selepas berehat selama 3 bulan daripada saingan Piala AFC.

Lebih menarik, pasukan tersebut turut diperkuatkan oleh abang kandung kepada pemain terkemuka dunia, Paul Pogba iaitu Florentin Pogba yang beraksi di posisi pertahanan tengah.

Malah, mereka juga mempunyai pemain tengah berkualiti dari Australia, Dimitri Petratos yang pernah beraksi di Piala Dunia 2018. Petratos merupakan bekas pemain import TRW Kelantan pada musim 2012-2013 dan sudah tentu beliau amat mengenali corak permainan pasukan Liga Malaysia.

Petratos juga mempunyai pengalaman membawa Kelantan mara ke suku akhir Piala AFC 2013 dan telah menjaringkan 4 gol dalam saingan kelas kedua Asia tersebut.

Perlawanan menentang KL City merupakan penampilan sulung untuk pemain yang berusia 30 tahun itu sejak menyertai ATK Mohun Bagan pada bulan 30 Ogos lepas.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah buat pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco kerana pernah beraksi bersama Dimitri Petratos dan bekas rakan sepasukannya, Brendan Hamill yang juga berasal dari Australia.

“Saya sangat teruja bertemu Brendan Hamill dan Dimi. Saya dan Brendan bukan sahaja bermain bersama (di Western Sydney Wanderers) malah pernah menuntut di Australian Institute of Sports (AIS) bersama-sama, jadi saya sudah lama mengenalinya.

“Dia kawan baik, dan lelaki yang baik, dan Dimi Petratos juga begitu. Saya pernah berlatih dengannya ketika saya berumur 14 tahun, jadi mereka ialah kenalan lama.

“Tetapi sebagai lawan, saya tahu kualiti kedua-dua mereka terutamanya Petratos, yang mempunyai keupayaan yang luar biasa. Dia merupakan pemain pasukan kebangsaan Australia, dan dia adalah seseorang yang kita perlu kawal,” jelas Gallifuoco.

Giancarlo Gallifuoco bersama rakan-rakan raikan kejayaan muncul Juara Zon ASEAN Piala AFC 2022.

KL City juga perlu berwaspada terhadap kehadiran penyerang skuad kebangsaan India, Liston Colaco yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super India musim 2021-2022. Bercakap kepada AFC, Colaco enggan memandang rendah terhadap kemampuan KL City walaupun tidak pernah bertemu pasukan dari Malaysia.

“Kami tidak memandang ringan terhadap kemampuan KL City kerana mereka telah menewaskan JDT yang merupakan juara Liga Super Malaysia 8 kali, di final Piala Malaysia 2021.

“Mereka juga menewaskan PSM Makassar 5-2 dan muncul sebagai juara Zon ASEAN. Jelas mereka kini dalam prestasi terbaik dan kami juga akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan menentang KL City,” kata Colaco.

Jika skuad kendalian Bojan Hodak menang ke atas Mohun Bagan itu, KL City akan menempah tiket ke pentas final Antara Zon untuk berdepan sama ada wakil dari Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh atau Eastern SC dari Hong Kong.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Piala AFC 2022: KL City Juara Zon ASEAN, Bawa Pulang 100,000 USD

Penyokong PSM Makassar Cedera Diserang, Cermin Bas Turut Pecah

ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, Perjalanan JDT Terhenti Di Saitama