Abang kepada Lionel Messi, Mattias Messi ternyata tidak gembira dengan layanan Barcelona, terutama sekali Joan Laporta.

Dalam satu siaran langsung di Twitch, Matias Messi menyatakan bahawa, sebelum kehadiran Messi di kelab itu, tiada orang yang kenal dengan Barcelona.

Peminat bola sepak cuma kenal dengan Real Madrid, kata Matias Messi dalam satu video yang kemudian dipadamkan dari siaran Twitch.

Matias berkata: “Orang cuma mula kenal Barcelona kerana Messi. Sebab sebelum ini, tiada siapa yang tahu, peminat di seluruh dunia cuma tahu [Real] Madrid… Dan sekarang mereka akan membalas semula dia [Messi] seperti itu adalah perkara yang tidak bagus.”

Matias Messi turut menegaskan bahawa sejarah Barcelona dipenuhi dengan cerita Messi. Misalnya di muzim Barca itu sendiri, segalanya adalah berkaitan dengan Messi.

Matias menambah: “Mereka yang berpeluang melancong ke Barcelona dan memasuki muzium Barcelona, ​​mereka akan tahu ianya adalah muzium Messi. Saya memberitahu semua ini supaya anda dapat melihat apa yang keluar dari keberanian kami.”

Ditanya sama ada Barcelona mungkin akan mendapatkan Messi semula selepas ini, memandangkan pemain itu akan menjadi ejen bebas, Matias Messi hanya tergelak dan menyatakan bahawa mereka sekeluarga semua sudah tahu perkara itu tak akan berlaku.

Hal ini kerana Laporta tidak mahu mendapatkan semula Messi. Itu yang membuatkan Matias Messi kecewa menuduh kelab itu tidak mengenang budi.

Sebenarnya, Barcelona sebelum ini terpaksa melepaskan Messi kerana masalah FFP yang melanda kelab itu dek kerana beban hutang mencecah €1.3 billion.

Membuatkan Messi akhirnya menyertai PSG.

Pada masa ini, Barca masih terkesan dengan impak kewangan selepas pandemik. Dan mereka dilarang mendaftarkan pemain baharu pada Januari.

Mereka terpaksa merayu daripada La Liga untuk mendaftarkan Gavi sebagai pemain utama.

Tetapi abang Messi merasakan bahawa presiden Barcelona, Laporta tak sukakan Messi. Kerana jika Messi kembali ke kelab itu, orang pertama yang akan disingkirkan adalah Laporta

Matias dengan yakin berkata: “Jika kami sekeluarga kembali ke sana, kami akan melakukan pembersihan yang baik [memperbaiki krisis di Barca], antaranya menyingkirkan [presiden Barcelona] Joan Laporta.”

Matias turut mempersoalkan peminat Barca yang menurutnya tidak cukup berani menentang kelab ketika memutuskan untuk melepaskan Messi.

“Orang ramai di sana tidak menyokongnya [Messi],” kata Matias.

“Orang ramai sepatutnya keluar di jalanan dan berhimpun untuk mendesak Laporta pergi dan Messi kekal.

“Di sana [di Sepanyol] mereka tidak melakukan apa-apa, mereka semua pengkhianat.”