Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan mahu para penyokong bola sepak tempatan memanfaatkan peluang kebenaran yang diberikan kerajaan untuk kembali ke stadium.

Perkembangan terbaharu itu bukan sahaja menghadirkan senyuman buat para peminat tetapi setiap pasukan bertanding juga sudah pastinya menyambut baik pengumuman tersebut kerana sebelum ini terpaksa bermain tanpa kehadiran penyokong di stadium masing-masing.

Sehubungan dengan itu, Ab Ghani mengharapkan agar para penyokong dapat mematuhi segala operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan.

“MFL ingin merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan penonton kembali ke stadium pada bulan ini.”

“Ini adalah satu petanda positif kepada semua penyokong terutama industri bola sepak sendiri di mana hanya kejohanan bola sepak sahaja dibenarkan penonton ke stadium.”

“Bagaimanapun, MFL tetap akan memastikan gelembung sukan kekal terpelihara serta terus mengekalkan amalan operasi prosedur standard (SOP) di sebalik kebenaran kemasukan penonton bermula bulan depan.”

“Nasihat saya kepada penyokong, sama-sama kita mengekalkan pematuhan SOP dalam misi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dan ingatlah bahawa jangan kita sesekali tidak memanfaatkan peluang ini selepas pihak kerajaan membenarkan penonton ke stadium,” ujar Ab Ghani menurut laporan dikeluarkan laman sesawang MFL.

Seperti yang dilaporkan semalam, kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur dibenarkan.

Manakala, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula menyaksikan 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Penonton Dibenarkan Masuk Ke Stadium Mulai 1 April Mengikut Kuota Kapasiti Yang Ditetapkan

Perancangan TMJ Beli Sebahagian Saham Di Valencia Terpaksa Ditangguhkan

Khairul Azhan Gesa Rakan Sepasukan Fokus Perlawanan Liga Super Seterusnya