Seramai 20 jurulatih tempatan dan luar negara kini berada di Jepun untuk menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul keempat dari 1 hingga 14 Oktober 2019.

Kursus ini terbuka kepada jurulatih yang mempunyai lesen “A” AFC selama dua tahun dan mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan atau kelab profesional. Lesen Diploma Profesional AFC ini merupakan antara lesen tertinggi dalam karier jurulatih bola sepak.

Antara jurulatih pasukan daripada Liga Malaysia yang terlibat ialah Dollah Salleh (Pahang), Mehmet Durakovic (Perak), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Nidzam Jamil (FELDA Utd), Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Kelantan), K. Devan (PJ City) dan Zainal Abidin Hassan (Melaka United).

71327036_2414762485287168_9200861795428859904_n
FOTO: FAM

Menurut kenyataan daripada laman facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Modul kali ini melibatkan lawatan ke dua buah kelab profesional di Jepun yang berpangkalan di Osaka dan Saitama iaitu Cerezo Osaka serta Omiya Ardija.

Barisan jurulatih yang terlibat telah menginap di J-GREEN Sakai di Osaka yang merupakan sebuah kompleks latihan bola sepak yang dikelilingi 24 buah padang. Modul kali ini turut dikendalikan oleh instruktur UEFA dari Denmark, Flemming Mark Serritslev dan dibantu oleh Ketua Unit Pendidikan Jurulatih FAM, David Abela.

Hari pertama modul ini turut meliputi lawatan ke kompleks J-GREEN Sakai oleh Encik Takashi Matsunaga yang merupakan Timbalan Pengarah dari Jabatan Perhubungan Antarabangsa Persatuan Bolasepak Jepun.

71690157_2414763248620425_1751676444301328384_n
FOTO: FAM

Sepanjang berada di Jepun, barisan jurulatih akan menyaksikan sesi latihan pasukan J-League, perlawanan J-League serta perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang melibatkan pasukan tuan rumah, Blue Samurai.

Dengan pengiktirafan sebagai salah satu daripada ahli Kategori A Konvensyen Kejurulatihan AFC, FAM kini boleh menganjurkan dan menjalankan Kursus Kejurulatihan peringkat tertinggi mengikut kategori masing-masing tanpa perlu menjalani proses lama untuk mendapatkan kelulusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Baca artikel menarik mengenai bidang kejurulatihan dalam sukan bola sepak melalui pautan dibawah.

Sewa Lesen Kejurulatihan, Cerita Dongeng Atau Realiti Dalam Bola Sepak Malaysia

Lelaki Ini Berkongsi Bagaimana ‘Setup’ Pembangunan Bola Sepak Elit Remaja Jepun

Jurulatih Liga Malaysia Menuntut Ilmu Sains Sukan Di Universiti Malaya