Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa tiket perlawanan separuh akhir 1 kejohanan AFF Suzuki Cup 2018 diantara Malaysia bertemu Thailand sebanyak 80,000 keping telah habis dijual.

Tiket fizikal bagi perlawanan itu yang dibuka pagi ini di kaunter Stadium Bukit Jalil mulai jam 10 pagi serta tiket yang dijual di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic sejak pagi tadi juga telah habis terjual.

Ini bermakna, kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan termasuk 40,000 keping tiket yang dijual secara online pada Isnin dan Selasa lalu kini telah pun habis terjual.

Pihak FAM juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong yang telah berusaha untuk mendapatkan tiket bagi memberikan sokongan untuk skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF Suzuki kali ini.