Kesemua 32 pasukan yang bertanding dalam saingan Piala Dunia 2022 di Qatar sudah membuat penampilan pertama dengan pelbagai cerita menarik dapat disaksikan.

Paling mencuri tumpuan sudah pastinya kejayaan dua wakil Asia, Arab Saudi dan Jepun yang berjaya menundukkan pasukan pilihan juara iaitu Argentina dan Jerman dengan keputusan 2-1.

Skrip yang sama dilakar oleh Arab Saudi dan Jepun apabila mereka terlebih dahulu ketinggalan menerusi sepakan penalti dan kemudiannya bangkit dengan dua gol pantas untuk mencipta sensasi.

Selain itu, terdapat beberapa fakta atau statistik menarik yang Vocket FC ingin kongsikan kepada anda sebelum bermulanya aksi kedua pada jam 6.00 petang ini dimana Wales akan bertemu Iran.

Berikut adalah antara statistik menarik selepas berakhirnya perlawanan pertama Piala Dunia 2022:

Sepanyol garang pada aksi pertama. Kredit Foto: Twitter FIFA World Cup

1) Sebanyak 41 jaringan telah terhasil daripada aksi pertama melibatkan kesemua pasukan menyaksikan terdapat 35 penjaring yang berbeza.

2) Daripada 41 jaringan tersebut, 15 daripadanya terhasil pada babak pertama dan baki 26 gol lagi disumbangkan pada 45 minit kedua.

3) 22 gol telah dijaringkan dengan menggunakan kaki kanan manakala 12 gol dengan kaki kiri dan tujuh lagi gol dihasilkan menerusi tandukan.

4) Sebanyak sembilan sepakan penalti telah diberikan dimana tujuh disempurnakan dengan baik oleh Enner Valencia, Mehdi Taremi, Gareth Bale, Lionel Messi, Ilkay Gundogan, Ferran Torres dan Cristiano Ronaldo.

Namun, Alphonso Davies hampa kerana sepakan beliau diselamatkan Thibaut Courtois pada minit ke-10 ketika aksi Belgium menentang Kanada. Begitu juga dengan sepakan Robert Lewandowski yang digagalkan Guillermo Ochoa (Mexico).

5) Terdapat enam orang pemain yang berjaya menjaringkan dua gol buat pasukan masing-masing iaitu Enner Valencia (Ecuador), Bukayo Saka (England), Mehdi Taremi (Iran), Olivier Giroud (Perancis), Ferran Torres (Sepanyol) dan pemain Brazil, Richarlison.

6) Sepanyol menjadi pasukan yang paling banyak menjaringkan gol apabila mencatatkan kemenangan 7-0 ketika bertemu Costa Rica manakala pertemuan England menentang Iran merupakan perlawanan yang menyaksikan jumlah jaringan terbanyak dihasilkan iaitu lapan gol (England menang 6-2).

7) Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta rekod sebagai pemain pertama dalam sejarah bola sepak yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia (lapan gol keseluruhan dihasilkan Ronaldo).

8) Pertemuan Jerman dan Jepun menjadi satu-satunya perlawanan yang langsung tiada sebarang layangan kad kuning diberikan oleh pengadil bertugas manakala Arab Saudi menerima enam kad amaran untuk menjadi pasukan terbanyak menerima kad tersebut.