Mengikut rekod rasmi yang dikeluarkan oleh JLeague dilaman web rasmi mereka, secara keseluruhannya pada tahun 2017 jumlah pendapatan kelab-kelab bola sepak J1 League dari 5 punca utama adalah berjumlah JPY73 bilion atau RM2.7 bilion.

Dalam saingan J1 League terdapat 18 buah kelab yang bersaing dan jika dikira secara purata, pendapatan bagi setiap kelab dari 5 punca utama adalah sekitar JPY4.026 bilion atau RM148.4 juta semusim.

Dalam artikel ini tidak akan dibincangkan secara mendalam pendapatan bagi setiap kelab J1 League, tetapi sekadar mengambil kira kelab yang paling banyak menjana pendapatan bagi setiap punca pendapatan seperti dibawah.

1.Pengiklanan

Secara keseluruhannya, hasil pengiklanan dalam saingan JLeague memang mengagumkan bukan sahaja dari segi jumlah wang, tetapi juga dari segi penglibatan syarikat-syarikat swasta untuk membantu ‘kelangsungan’ pasukan-pasukan yang bersaing.

Angka yang dikeluarkan dalam laporan kewangan musim 2017 menyatakan bahawa, pendapatan dari pengiklanan bagi 18 buah pasukan berjumlah JPY32.6 bilion atau RM1.2 bilion, hampir separuh dari jumlah keseluruhan pendapatan kelab.

Kelab JLeague yang menjana pendapatan paling tinggi dari pengiklanan pada musim 2017 adalah Vissel Kobe, dengan jumlah JPY3.352 bilion atau RM123.5 juta, mengatasi pencabar terdekat Urawa Reds Diamond.

2. Kutipan Jualan Tiket

Jika diperhatikan dari jumlah kehadiran penonton ke stadium, musim 2017 J1 League mencatatkan kehadiran sebanyak 5,778,178 orang, peningkatan sebanyak +5.1% dari tahun sebelumnya.

Sudah semestinya Urawa Reds Diamond muncul sebagai pasukan paling banyak menerima kutipan jualan tiket kerana mereka adalah kelab yang mencatatkan kehadiran penonton paling tinggi sepanjang tahun 2017 dengan jumlah 570,215 orang.

Screen Shot 2018-08-12 at 10.37.37 AM

Rekod kehadiran Urawa Reds Diamond paling tinggi adalah seramai 57,447 orang dan paling rendah adalah 21,603 menjadikan purata kehadiran sepanjang musim kepada 33,542 orang, penurunan sebanyak -9.2% berbanding tahun 2016.

Dengan jumlah kehadiran sebegini, Urawa Reds Diamond mencatatkan jumlah kutipan sebanyak JPY2.337 bilion atau RM86.16 juta, meninggalkan pencabar ditempat kedua dengan ‘margin’ hampir 50%!

3. Wang Agihan Liga

JLeague juga mempunyai sistem pengagihan wang kepada pasukan yang bertanding mengikut cara yang telah dipersetujui bersama pasukan-pasukan.

Jika diperhatikan, wang agihan yang diterima ini muncul sebagai faktor ke 3 paling besar yang menyumbang kepada pendapatan kelab dalam saingan J1 League terutamanya.

Bagi musim 2017, Kashima Antlers menjadi pasukan paling banyak menerima wang dari punca pendapatan ini dengan jumlah JPY537 juta atau RM19.8 juta, perbezaan JPY1 juta atau RM36,869 berbanding Urawa Reds Diamond ditempat ke 2.

4. Hasil Dari Akademi Bola Sepak

Selain dari pendapatan yang dijana dari skuad utama, kelab-kelab JLeague juga memperolehi pendapatan dari akademi-akademi bola sepak mereka sendiri.

Sumbangan dari punca pendapatan ini mungkin berada dikedudukan no 6 dalam senarai, tetapi tidak boleh dinafikan peranan yang dimainkan apabila dilihat jumlah yang diterima oleh kelab.

fc tokyo

FC Tokyo muncul sebagai pasukan J1 League yang menerima pendapatan dari akademi paling tinggi untuk musim 2017 selepas mencatatkan perolehan sebanyak JPY446 juta atau RM16.7 juta.

Jumlah ini hampir setara dengan bajet sebuah pasukan dalam Liga Super Malaysia.

5. Jualan Barangan Rasmi

Percaya atau tidak, punca pendapatan dari jualan merchandise rasmi pasukan-pasukan dalam saingan JLeague sebenarnya berada ditempat ke 5.

Keseluruhan hasil jualan barangan rasmi pada tahun 2017 mencecah JPY6.183 bilion atau RM227.9 juta, dan purata bagi setiap pasukan sebanyak JPY344 juta atau RM12.68 juta.

urawa reds

Kelab paling tinggi menjana pendapatan hasil dari jualan barangan rasmi pasukan adalah Urawa Reds Diamond dengan perolehan sebanyak JPY813 juta atau RM29.97 juta.

Jika dibandingkan dengan kelab yang mencatatkan hasil jualan barangan yang paling rendah – Ventforet Kofu dengan perolehan sebanyak JPY74 juta atau RM2.73 juta, jelas dapat dilihat perbezaan yang cukup ketara.

6. Lain-lain Pendapatan

Dari kesemua 6 punca pendapatan utama, hasil yang diperolehi dari pelbagai lagi saluran yang kecil diletakkan dalam kategori lain-lain pendapatan yang tidak kurang hebat menyumbang kepada kekuatan kewangan kelab.

Menurut laporan kewangan yang dikeluarkan, hasil dari kategori ini berada dikedudukan ke 3 dari 6 punca utama dengan jumlah keseluruhan sebanyak JPY8.777 bilion atau RM323.59 juta pada 2017.

Urawa Reds Diamond merupakan pasukan tunggal dalam saingan J1 League yang memperolehi hasil mencecah lebih dari JPY1 bilion pada 2017. Mereka berjaya membawa masuk wang berjumlah JPY1.08 bilion atau RM39.82 juta dari lain-lain pendapatan.

urawa reds

6 punca pendapatan utama ini merupakan bukti bagaimana sebuah liga bola sepak profesional yang baru berusia 25 tahun mampu menghasilkan pendapatan yang tinggi jika diuruskan dengan betul.

Secara keseluruhannya, pada tahun 2017 Urawa Reds Diamond merupakan pasukan paling tinggi mencatatkan pendapatan dalam JLeague dengan jumlah JPY7.971 atau RM293.89 juta, perbezaan sebanyak JPY2.743 bilion atau RM101 juta dengan Kashima Antlers ditempat kedua!