Perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Johor Darul Takzim akan dimainkan pada 2 November 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perlawanan yang akan mengumpulkan lebih daripada 85,000 orang ini akan menjadi satu tapak yang sangat sesak ditambah pula satu konsert turut akan diadakan pada hari yang sama.

Berikut adalah 5 perkara penting yang kami rasa penting untuk diambil perhatian bagi penyokong kedua-dua pasukan:

1.TIKET PERLAWANAN & TEMPAT DUDUK

5 Perkara
Grafik: Kedah FA

MFL telah mengumumkan mengenai penjualan tiket seperti yang telah dimaklumkan dalam laman media sosial kedua-dua pasukan. Pastikan tiket perlawanan yang dibeli adalah asli dan dibeli di kaunter ataupun atas talian supaya memudahkan anda masuk ke dalam stadium secara sah.

Banyak kes tiket palsu telah direkodkan dalam beberapa perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan bila ditanya, rupanya penyokong tersebut membeli tiket dari sumber yang tidak diketahui.

Seperti yang diketahui, sejak beberapa perlawanan Malaysia yang lalu, Stadium Nasional Bukit Jalil telah dilengkapi dengan nombor tempat duduk dan seksyen. Jika anda terpisah jauh dengan rakan anda, anda boleh buat pertukaran tiket suka sama suka dengan orang yang duduk bersebelahan rakan anda. Jangan sebelum mula perlawanan, ada insiden tidak diingini berlaku pula.

2.GUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM

5 Perkara
Sumber Gambar: Ringgitplus.com

Untuk mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar stadium yang amat sesak, yang mana hadir menggunakan kereta boleh memarkir kenderaan di stesen-stesen LRT di sepanjang laluan Sri Petaling daripada Sentul Timur hingga ke Putra Heights.

Antara stesen dengan parkir terbanyak adalah Putra Heights (452 tempat parkir), Taman Perindustrian Puchong (347), IOI Puchong Jaya (464) dan beberapa stesen yang lain dari Sentul Timur. Penulis berpengalaman pergi ke beberapa perlawanan di stadium keramat ini dan Rapid KL juga bertanggungjawab dengan berkhidmat lebih masa pada hari perlawanan akhir.

Untuk mengelakkan kesesakkan selepas perlawanan, kepada penyokong yang menghala ke Putra Heights boleh menggunakan stesen Sri Petaling manakala penyokong yang menghala ke Sentul Timur boleh terus stesen Bukit Jalil. Ia boleh mengurangkan 40% kesesakkan berbanding semua penyokong hanya bertumpu ke stesen Bukit Jalil semata-mata.

3.BAWA SEJADAH & BOTOL KECIL UNTUK BERWUDUK

5 Perkara
Sumber Gambar: Remaja.my

Seperti kebiasaan, dengan kehadiran 85,000 penyokong kedua-dua pasukan akan menyebabkan semua surau akan menjadi penuh dan pelbagai lagi rintangan buat semua orang. Bagi memudahkan ibadah, adalah baik bagi penyokong untuk membawa sejadah kecil agar mudah untuk dibentangkan di kawasan sekitar stadium dan botol kecil untuk digunakan bagi urusan wuduk.

Hal ini disebabkan keadaan tandas stadium kebangsaan yang sudah tentu akan sesak dan akan menyebabkan giliran untuk menunggu agak lama.

4.JAGA KEBERSIHAN

5 Perkara
Sumber Gambar: BH

Kebersihan merupakan satu bahagian daripada iman, maka tanggungjawab menjaga kebersihan stadium adalah tanggungjawab penyokong Kedah & JDT bersama. Untuk memudahkan, beli satu plastik hitam besar sebagai alternatif tong sampah di stadium dan gunakan untuk kumpulkan sampah di seksyen tempat duduk anda nanti.

Jika anda terlupa untuk beli plastik sampah hitam, letak sampah anda dengan elok di bawah kerusi, jangan biarkan ia bersepah dengan segala air dan kuaci bersepah di atas lantai stadium. Lebih bak kita mudahkan kerja staf pembersihan stadium.

5.JAGA TINGKAH LAKU DAN AKHLAK

5 Perkara
Sumber Gambar: JST

Dalam perlawanan akhir, pelbagai jenis provokasi boleh terjadi di kem kedua-dua pasukan tidak kira dari pemain, barisan kejurulatihan dan juga penyokong. Adalah sangat digalakkan untuk penyokong yang hadir untuk menjaga tingkah laku agar berkelakuan sopan di stadium terutama tidak mengeluarkan kata-kata kesat.

Penyokong juga harus diingatkan agar tidak merokok di dalam stadium ketika perlawanan sedang berlangsung kerana dalam keadaan yang sangat ramai orang, asap daripada rokok tu akan menganggu sistem pernafasan orang di sekitar termasuk wanita dan kanak-kanak.

Baca artikel lain mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di sini:

Subkhiddin Puji Tindakan FAM Guna Pengadil Tempatan Kendalikan Final Piala Malaysia

Piala Malaysia 2019: Kedah Ada Ramuan Tersendiri Untuk Muncul Sebagai Juara

FAM Risau Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Rosak Teruk Selepas Final Piala Malaysia