Seperti yang dinyatakan beberapa hari lalu, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi antara venue alternatif buat skuad kebangsaan sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dapat digunakan bagi menghadapi Piala AFF Mitshubishi Electric 2022, Disember nanti.

Hal ini kerana, difahamkan stadium yang dikenali sebagai ‘Home of Harimau Malaya’ itu menerima tempahan padat untuk pelbagai acara pada hujung tahun ini.

Selain Stadium Sultan Ibrahim, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menamakan tiga lagi lokasi iaitu Stadium Bola Sepak Cheras (Kuala Lumpur), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu), Stadium Hang Jebat (Melaka) sebagai cadangan.

Bukan mahu membandingkan atau menidakkan kredibiliti ketiga-tiga stadium tersebut, namun penulis merasakan Stadium Sultan Ibrahim lebih berhak mendapat peluang untuk menjadi gelanggang tuan rumah buat skuad negara bagi berdepan Laos pada 24 Disember dan Singapura pada 3 Januari 2023 dalam peringkat kumpulan.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

1) Menepati syarat atau piawaian diperlukan AFC

Untuk mengadakan mana-mana perlawanan antarabangsa, terdapat syarat atau spesifikasi ketat daripada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang perlu dipatuhi oleh setiap pasukan tuan rumah.

Sehubungan dengan itu, SSI yang dirasmikan pada 22 Februari 2020 jelas mematuhi segala kriteria ditetapkan badan induk bola sepak Asia tersebut.

Antara kriteria yang dimaksudkan ialah pasukan tuan rumah perlu menyediakan keperluan padang latihan serta infrastruktur lengkap kepada pasukan pelawat.  Lengkap yang membawa maksud padang berkualiti dengan kemudahan bilik persalinan.

AFC turut menetapkan stadium hendaklah terletak di lokasi yang mempunyai lapangan terbang antarabangsa dalam radius 200 kilometer dan masa perjalanan tidak boleh lebih daripada 150 minit (2 jam 30 minit) antara stadium dan lapangan terbang antarabangsa.

Satu keadaan yang jelas tiada masalah kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hanya kira-kira 32 kilometer daripada stadium. Selain itu, tuan rumah perlu menyediakan hotel bertaraf empat bintang kepada pasukan pelawat.

Banyak lagi syarat yang diperlukan oleh AFC dan semestinya SSI cukup bersedia untuk menganjurkan Piala AFF 2022 bersandarkan kepada fasiliti lengkap dimiliki daripada aspek pencahayaan (2,100 lux), tribun media, bilik sidang media, ‘mixed zone’ dan sebagainya.

2) SSI berpengalaman jadi tuan rumah Liga Juara-Juara Asia (ACL)

Pengalaman SSI dalam menganjurkan perlawanan ACL melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT), malah bertindak selaku tuan rumah kesemua aksi kumpulan I saingan tersebut pada April lalu jelas menguatkan lagi hujah ini.

Barisan Jawatankuasa Pengelola Tempatan (LOC) pasti sudah arif dengan pematuhan syarat ditetapkan AFC kerana ACL bukanlah calang-calang pertandingan yang perlu dianjurkan oleh mereka.

Berbekalkan fasiliti lengkap dan kepakaran tersebut, ia secara tidak langsung dapat membantu FAM untuk melancarkan perjalanan dua perlawanan tersebut (tidak termasuk sekiranya skuad negara mara ke peringkat separuh akhir dan akhir).

3) Keadaan padang di tahap terbaik

Tanpa keraguan bertepatan dengan status selaku stadium terbaik di Malaysia, kualiti padang di Stadium Sultan Ibrahim memang tiada tandingan dengan penerapan teknologi tinggi.

Menurut sumber Semuanya BOLA, padang di Stadium Sultan Ibrahim mempunyai sembilan lapisan di mana setiap satunya mempunyai fungsi masing-masing dalam teknologi perparitan padang.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Hal ini memberikan gambaran jelas bahawa sekiranya beraksi dalam keadaan hujan lebat sekalipun, ia tidak menjadi masalah. Apatah lagi seperti kebiasaan pada hujung tahun, tanah air akan menghadapi hujan lebat berterusan.

Dari segi permainan pula, ia turut akan mempengaruhi persembahan pasukan kerana sebahagian besar daripada pemain skuad kebangsaan berkemungkinan akan dibarisi pemain dari JDT.

4) Menyerlahkan keistimewaan SSI di mata dunia

Tidak dinafikan Stadium Sultan Ibrahim sudah dikenali di seluruh dunia terutamanya ketika dianugerahkan sebagai ‘Stadium Terbaik Dunia 2020’ dalam undian awal dilakukan laman sesawang StadiumDB.com.

Namun, dengan penganjuran Piala AFF Mitsubishi Power ini dilihat mampu melonjakkan lagi imej SSI di seantero dunia dengan penglibatan pasukan kebangsaan.

Ini membuktikan pasukan di Malaysia juga mampu untuk menyediakan fasiliti serta stadium bertaraf dunia.

Kesimpulan

Apa yang dinyatakan adalah sekadar pendapat peribadi penulis dan ia bukanlah untuk terlalu memuji SSI dan JDT khususnya.

Namun, kita perlu menerima hakikat bahawa SSI ada segalanya untuk memberikan perkhidmatan cemerlang dalam membantu kelancaran perjalanan pasukan negara sebagai pilihan menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apa-apapun segalanya terpulang kepada kebijaksanaan FAM dalam merangka perancangan serta membuat keputusan terbaik.