Menjadi seseorang yang aktif bersukan terutamanya dalam sukan berkumpulan membuatkan anda menggalas tanggungjawab berat melibatkan emosi bagi menjadikan pasukan anda dalam kalangan terbaik.

Dalam usaha untuk membawa pasukan anda tanpa mengira apa sahaja jenis sukan termasuklah bola sepak, futsal, hoki, badminton dan lain-lain lagi pastinya pelbagai perkara yang bermain di minda sebelum mahupun ketika menghadapi sebarang perlawanan.

Tidak mustahil pemikiran negatif akan terbit dalam minda anda sekiranya akibat daripada terlalu memikirkan untuk mencapai impian itu.

Anda perlu memahami bahawa setiap emosi atau perasaan negatif yang dicetuskan bakal menganggu tumpuan anda terhadap permainan dan berkemungkinan membuatkan anda mengalami kesulitan dalam gelanggang.

Berikut adalah perkara yang perlu anda berhenti dari berfikir ketika bersukan :

1) Hentikan daripada berfikir untuk menjadi pemain yang sempurna

Tiada pemain dalam mana-mana sukan sekalipun yang sempurna walaupun di peringkat dunia.

Masih terdapat beberapa perkara yang menjadi kelemahan buat seseorang pemain.

Sekiranya anda merasakan diri anda mahu menjadi sempurna, ianya memberikan peluang lebih besar untuk anda kecewa dengan diri sendiri sekiranya tidak mencapai apa yang dihajatkan dalam permainan.

Jangan biarkan perkara ini menghantui diri anda kerana anda hanya perlu untuk berusaha bagi memperbaiki diri dari kesilapan yang dilakukan.

2) Hentikan daripada berfikir anda yang mengawal segalanya

Setiap pemain hanya perlu fokus pada tugas mereka sendiri tanpa perlu terlalu memikirkan soal lain terutamanya melihat kesalahan rakan sepasukan.

Perkara ini akan menjadi masalah yang besar sekiranya emosi anda terganggu dengan perkara ini.

Apabila anda merasakan semua perkara perlu dikawal oleh diri anda, ianya akan membuatkan anda hilang fokus pada permainan dan sering salah menyalahkan sesama sendiri.

Berikan tumpuan pada matlamat asal anda dan juga pasukan serta kawal diri untuk mencapai apa yang ingin dikecapi.

3) Hentikan daripada berfikir anda tahu semua benda dan tidak boleh ditegur

Sebagai pemain anda perlu terima pendapat dan juga teguran dari orang lain.

Teguran yang diberikan adalah untuk pembelajaran anda bagi terus berusaha menjadi lebih baik.

Masih terdapat kekurangan yang anda tidak dapat kesan namun dapat dilihat oleh orang disekeliling anda.

Dapatkan pendapat rakan sepasukan mengenai aspek yang diperlukan oleh diri anda untuk perbaiki kualiti dan corak permainan.

4) Hentikan daripada berfikir kesilapan yang dilakukan sebagai kegagalan peribadi anda

Pemain berfikir bahawa kesilapan dilakukan berasakan dia telah gagal sebagai pemain, maka dia akan mula mempersoalkan dirinya dan meragui kemahiran atau kebolehannya.

Belajar dari kesilapan yang dilakukan agar tidak mengulanginya dan membantu pasukan dalam mencapai matlamat yang ingin dicapai.

Terlalu memikirkan perkara negatif akan membuatkan emosi anda terganggu dan secara langsung akan membuatkan prestasi anda terjejas akibat perkara tersebut.