Thailand cukup dikenali sebagai antara kuasa besar dalam kancah futsal di Asia dan bakal merasai nikmat beraksi di pentas Piala Dunia buat kali keenam berturut-turut.

Berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik bagi dua edisi Piala Dunia berturut-turut (2012 dan 2016), Thailand juga mempunyai reputasi baik dalam Kejuaraan Futsal AFC setelah tujuh kali berjaya ke peringkat separuh akhir.

Manakala bagi saingan Kejuaraan Futsal AFF pula, Thailand yang kini dibimbing pengendali dari Sepanyol, Jose Maria Pazos Mendez (lebih dikenali sebagai Pulpis) jelas tiada tandingan di peringkat Asia Tenggara apabila menjulang 15 daripada 16 mahkota kejohanan tersebut.

Satu gelaran yang terlepas itu hanya kerana negara ‘Gajah Perang’ tersebut tidak menyertai saingan di Ho Chi Minh dimana Indonesia muncul juara selepas menundukkan Malaysia 5-0 pada perlawanan akhir.

Melihatkan kepada kehebatan negara jiran tersebut dalam sukan lima sebelah ini, dikongsikan kepada anda beberapa aspek penting dalam menjadikan Thailand sebagai antara kuasa besar futsal Asia:

1) Sumbangan hebat Adisak Benjasiriwan

Antara elemen penting menjurus kepada perkembangan secara menyeluruh buat futsal di Thailand ialah ‘keghairahan’ ditunjukkan individu bernama Adisak Benjasiriwan sejak 20 tahun lalu.

Adisak merupakan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) yang memberikan sokongan kuat dalam perkembangan dua sukan tersebut.

Beliau juga menjadi antara nadi kekuatan yang telah berjaya membawa penganjuran Piala Dunia Futsal 2012 ke Thailand.

Futsal Thailand
Adisak (berdiri tengah) bersama para pemain sebaik sahaja mereka melayakkan diri ke Piala Dunia Futsal 2021.

Keghairahannya terhadap futsal memang tidak dapat dinafikan apabila beliau mengasaskan kelab gergasi di sana, PTT Bluewave Chonburi sebelum menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada anak lelakinya, Tachapat Benjasiriwan, beberapa tahun yang lalu.

Selain itu, Adisak juga mencurahkan minatnya terhadap futsal dengan membina gelanggang awam di kawasan bandar bagi membolehkan orang ramai menikmati permainan tersebut secara percuma.

Terlalu banyak sumbangan daripada Adisak terhadap perkembangan futsal dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau selayaknya digelar ‘Bapa Pembangunan Futsal Thailand’.

2) Pendedahan di bangku persekolahan

Seperti di Brazil dan Sepanyol, kanak-kanak di Thailand juga telah didedahkan dengan futsal sejak dari awal kerana terdapat hampir 1000 gelanggang futsal di seluruh negara di dalam 70 wilayah di Thailand.

Ketika ini juga, lebih daripada suku sekolah seluruh Thailand menggantikan futsal sebagai sukan utama berbanding bola sepak berikutan kekurangan ruang untuk menyediakan padang bola sepak.

Selain itu, di bangku persekolahan juga, murid-murid telah diperkenalkan dengan pengetahuan tentang futsal sebagai antara silibus dalam subjek pendidikan jasmani.

Pertandingan futsal antara sekolah dan universiti yang kompetitif juga turut menjadi faktor kelahiran bakat-bakat baharu buat negara tersebut.

Antara kejohanan yang dipertandingkan ialah Liga Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sukan Kebangsaan Thailand bagi peringkat universiti selain Liga Universiti Wanita.

3) Saingan liga yang cukup kompetitif

Jika di peringkat bawahan pun pihak FAT begitu serius dalam penganjuran liga, apatah lagi melibatkan kempen liga utama.

Saingan Liga Futsal Thailand yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 telah menampilkan 14 pasukan yang begitu stabil dari segi kewangan. Keadaan itu sekali gus berjaya menarik minat pemain-pemain import berkualiti tinggi dari seluruh dunia untuk beraksi di sana.

Kehadiran pemain-pemain import berkualiti juga secara langsung telah meningkatkan lagi tahap liga tersebut ke satu aras yang lebih baik.

Nilai komersial setiap pasukan juga semakin meningkat apabila kesemua perlawanan disiarkan secara langsung dan ia memberikan indikasi jelas untuk menarik serta meyakinkan penglibatan penaja.

Tahap liga yang baik juga menjurus kepada lahirnya pemain-pemain baharu. Ia jelas terbukti ada ketika Thailand hanya menurunkan skuad majoriti pemain muda untuk pendedahan bagi menggantikan generasi emas diketuai Kritsada Wongkeao dalam Kejuaraan Futsal AFF dan mereka masih mampu muncul selaku juara.

4) Pelantikan Pulpis dan ‘passion’ pemain perkasakan kualiti skuad kebangsaan 

Kepakaran Pulpis dalam menerapkan asas permainan buat pasukan kebangsaan jelas menambah kekuatan skuad kebangsaan mereka yang sememangnya memiliki kemampuan individu yang baik.

Asas permainan yang jitu menjadi aset kekuatan pasukan dan nyata apa dilakukan beliau begitu disenangi para pemain Thailand.

‘Passion’ dan kerja keras ditampilkan barisan pemain setiap kali beraksi juga menjadi nilai tambah kepada kekuatan skuad kebangsaan Thailand.

Memetik nasihat yang pernah dikongsikan oleh legenda futsal Thailand, Kritsada dan Suphawut Thueanklang, setiap kejayaan memerlukan rasa kecintaan terhadap sukan futsal.

“Sayangi futsal terlebih dahulu, tingkatkan kualiti dan percaya pada diri anda.”