Pihak PFAM hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan dengan isu tunggakan gaji 5 bekas pemain Kelantan FC yang sehingga kini menjadi topik hangat terutamanya dinegeri Kelantan.

3 hujah utama PFAM telah dinyatakan dengan jelas seperti dibawah berkenaan pendirian mereka terhadap isu ini. Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

1. PFAM mengambil maklum berhubung isu tuntutan tunggakan bayaran gaji 5 orang bekas pemain TRW FC yang telah tular ketika ini.

2. PFAM juga telah membaca dan memahami intipati kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik TRW, Tuan Norizam Tukiman, atau lebih dikenali sebagai TuanZamsaham.

3. Sebagai persatuan yang mewakili para pemain tersebut dalam usaha menuntut tunggakan gaji mereka, PFAM ingin mengemukakan kenyataan balas bagi pihak para pemain yang diwakili.

4. Pertama, tindakan pihak pasukan TRW menguar-uarkan isu ini dengan mendedahkan Notis Tuntutan di media ketika ia masih di peringkat surat menyurat antara kedua-dua pihak adalah satu tindakan yang kurang profesional.

5. PFAM telah menasihati para pemain bahawa mereka perlu menghormati proses aduan dan tidak membuat apa-apa kenyataan secara terbuka berhubung perkara ini.

6. Namun begitu, perkara ini telah didedahkan sendiri oleh pasukan – yang akhirnya mengundang persepsi negatif daripada netizen menerusi komen-komen yang dinyatakan di media sosial – di mana ia sepatutnya diuruskan dengan membalas Notis Tuntutan kami secara rasmi, dan sekiranya masih tiada persetujuan dapat dicapai, kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan perkara ini ke peringkat Jawatankuasa Status FAM.

7. Kedua, alasan pihak TRW yang enggan membayar gaji pemain secara penuh bagi November 2020 tidak pun memberikan justifikasi untuk pasukan dikecualikan daripada tanggungjawab mereka mengikut kontrak antara pasukan dan pemain.

8. Antara perkara yang dibangkitkan oleh Tuan Zamsaham adalah beliau mempertikaikan kewajaran membayar gaji secara penuh disebabkan berlakunya situasi pemain yang cedera, mempunyai masalah disiplin (attitude) dan dilayangkan kad merah.

9. PFAM tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya pemotongan gaji tersebut adalah pemotongan yang dibenarkan dan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan di dalam kontrak.

10. Namun begitu, sekiranya pemotongan tersebut tidak berlandaskan kepada ketetapan kontrak antara dua pihak, PFAM berpendapat adalah tidak wajar untuk pihak TRW berbuat demikian.

11. Tambahan pula, sekiranya pandemik Covid19 diambil kira, PFAM ingin menekankan akan perlunya pihak pasukan mengikut Garis Panduan Penyelarasan Gaji yang dikeluarkan oleh FAM, dimana pasukan perlu membayar secara penuh kepada pemain apabila liga kembali bersambung.

12. Para pemain juga tidak boleh dijadikan “mangsa” berhubung jumlah perlawanan November 2020 yang dilalui pasukan kerana ia bukanlah berada di dalam kapasiti para pemain untuk menentukan jumlah perlawanan sesuatu pasukan.

13. Ketiga, berkenaan sikap “bertolak ansur” yang dibangkitkan oleh Tuan Zamsaham.

14. Dalam isu ini, PFAM berpendapat bahawa para pemain, sekalipun tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan gaji, masih bertolak ansur dengan pihak TRW kerana memberikan masa untuk pihak TRW membuat bayaran sebelum para pemain membuat aduan kepada PFAM.

15. Tujuan para pemain ‘menangguhkan’ aduan kerana ingin memberi ruang untuk pihak TRW melunaskan bayaran-bayaran tunggakan lain, serta membolehkan pihak TRW melepasi syarat perlesenan dan seterusnya dapat bersaing dalam saingan liga musim ini.

16. Selain itu, para pemain masih menghormati pengurusan pihak TRW kerana tidak pernah membuat kenyataan secara terbuka berhubung isu ini sehinggalah ia dibangkitkan sendiri kepada umum oleh pihak TRW sendiri.

17. Perlu juga diingatkan, ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan para pemain tidak dapat bersetuju dengan cadangan potongan gaji tersebut memandangkan para pemain turut mempunyai komitmen peribadi masing-masing.

18. Malah, ada dalam kalangan 5 pemain ini yang tidak mempunyai pasukan, dan disebabkan itu, pengharapan mereka terhadap gaji November 2020 adalah sangat tinggi.

19. Tanpa mahu melihat perkara ini dalam isu perundangan sekalipun, PFAM juga berharap agar pihak TRW melihat isu ini dalam aspek kemanusiaan – memandangkan pihak TRW di bawah kepimpinan Tuan Zamsaham telah pun bersedia untuk mengambil alih pasukan ini, yang sememangnya diketahui umum mempunyai bebanan hutang dan kos pengurusan yang sangat tinggi.

20. Tanpa sebarang prejudis, PFAM percaya bahawa pihak Tuan Zamsaham sudah pun membuat ‘audit’ (due diligence) secara terperinci berhubung kos pengurusan pasukan dan pastinya pertimbangan untuk proses pengambilalihan ini dibuat setelah melihat kepada kemampuan syarikat untuk menampung kos pasukan sehingga musim 2020 berakhir.

21. PFAM gembira dengan adanya individu seperti Tuan Zamsaham untuk memeriahkan kancah bolasepak tempatan, namun PFAM juga berpegang bahawa hak pemain perlu dihormati selagi mana ia terkandung di dalam kontrak.

22. Di akhir kenyataan ini, PFAM berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secara profesional antara dua pihak mengikut kerangka prosedur perundangan sedia ada.