Selepas keputusan undian tambahan yang diadakan oleh AFC semalam, UAE akan berada dalam kumpulan E bersama-sama Malaysia, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain.

Berikut adalah keputusan undian terbaru pasukan-pasukan yang bertanding dalam peringkat kumpulan acara bola sepak Sukan Asia 2018.

q8ry0o9udlz7y8igt6ph

Sebaik sahaja keputusan undian akhir diketahui, jadual perlawanan bagi setiap kumpulan ditentukan dan semestinya jadual skuad Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee menjadi perhatian.

1.Penukaran Jadual Perlawanan Menjadi Lebih Awal

Disebabkan pertambahan pasukan dalam kumpulan E dari 4 pasukan kepada 5 pasukan, jadual perlawanan terpaksa diubah.

Sebelum ini perlawanan pertama dijadualkan akan berlangsung pada 14 Ogos 2018, namun ia terpaksa diawalkan 4 hari kepada 10 Ogos 2018, dimana Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan.

2.Perlawanan Persahabatan Bertemu Arab Saudi Terpaksa Dibatalkan

Disebabkan perubahan jadual perlawanan itu, 1 perlawanan persahabatan yang berkualiti bertemu Arab Saudi di Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan.

Ini adalah kerana kesuntukan masa yang dihadapi oleh skuad Datuk Ong Kim Swee apabila akan bertemu pasukan China pada 5 Ogos 2018 dan bertemu Arab Saudi pada 9 Ogos 2018 pada asalnya.

3.Masa Latihan Skuad U23 Malaysia Yang Lebih Singkat

Berdasarkan kepada jadual latihan yang dikeluarkan oleh FAM pada 18 Julai lalu, pemain-pemain akan mula melaporkan diri di kem latihan pada 30 Julai 2018.

Selepas itu, pada 2 Ogos skuad Datuk Ong Kim Swee akan berlepas ke Changzhou, China bagi menghadapi 1 perlawanan persahabatan bertemu China pada 5 Ogos 2018.

Mengikut perancangan asal, mereka akan kembali ke tanahair pada 6 Ogos, namun disebabkan perubahan jadual pertama perlawanan bagi kumpulan yang mempunyai 5 pasukan, mereka akan terbang terus ke Jakarta pada 8 Ogos untuk persiapan bertemu Kyrgyzstan pada 10 Ogos 2018.

Datuk Ong Kim Swee hanya mempunyai masa kurang lebih 4 hari untuk mengadakan sesi latihan terakhir sebelum turun bertemu Kyrgyzstan dalam perlawanan pembukaan.

Memetik laporan Berita Harian yang menghubungi ketua jurulatih skuad U23 Malaysia itu, beliau menyatakan bahawa terpaksa menerima keputusan ini dan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin.

“Sebab itu sebelum ini saya minta dilakukan awal jika ada undian semula, tapi apa boleh buat dan kami terpaksa terima.

“Memang di atas kertas Korea Selatan dan UAE adalah pasukan pilihan, tapi kami akan cuba yang terbaik. Ini satu cabaran besar buat semua pemain,”