Uruguay melalui gol kemenangan jaringan penyerang berbisa mereka, Luis Suarez, mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati kejohanan Piala Dunia 2018 Russia.

2 kemenangan dengan 6 mata sudah cukup untuk mereka dan hanya tinggal perlawanan terakhir bertemu Russia bagi menentukan juara kumpulan A.

Pemain Uruguay Pertama Menjaringkan Gol Dalam 3 Edisi Piala Dunia

Menurut catatan oleh OptaJoe, jaringan Luis Suarez itu tadi menjadikan beliau sebagai satu-satunya pemain Uruguay yang menjaringkan gol dalam 3 edisi Piala Dunia yang berbeza.

Dalam edisi 2010 di Afrika Selatan, Luis Suarez telah menjaringkan 3 gol dari 6 perlawanan dimana Uruguay layak sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum disingkirkan oleh pasukan Belanda dengan keputusan 2-3.

Pada edisi 2014 di Brazil pula, Luis Suarez telah menjaringkan 2 gol dari 2 perlawanan yang diturunkan. Namun kedua-dua gol itu telah dijaringkan ketika Uruguay menang 2-1 keatas England pada peringkat kumpulan.

Penampilan Luis Suarez Yang Ke 100 Bersama Uruguay

Penampilan Luis Suarez dalam perlawanan bertemu Arab Saudi itu juga menandakan penampilan beliau yang ke 100 bersama skuad kebangsaan Uruguay.

Dengan pencapaian itu, Luis Suarez muncul sebagai pemain ke 6 Uruguay yang telah berjaya membuat penampilan lebih dari 100 kali bersama skuad kebangsaan.

1. Maxi Pereira 125 penampilan
2. Diego Godín 117 penampilan
3. Diego Forlán 112 penampilan
4. Cristian Rodríguez 106 penampilan
5. Edinson Cavani 102 penampilan
6. Luis Suárez 100 penampilan

Kali Pertama Sejak Tahun 1954

2 kemenangan berturut-turut pada peringkat kumpulan ini juga merupakan satu pencapaian yang kali pertama dilakukan oleh skuad kebangsaan Uruguay dipentas Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 1954.

Dalam edisi 1954 yang diadakan di Switzerland itu, Uruguay menewaskan pasukan Czechoslovakia 2-0 di Stadium Wankdorf, Bern.

Manakala pada perlawanan kedua pula, pasukan Uruguay membelasah pasukan Scotland 7 gol tanpa balas di St Jakob Stadium.