Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan tidak akan memanggil lebih 30 orang pemain ke kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula pada Oktober depan.

Katanya dalam Kosmo!, jumlah pemain yang terlalu ramai akan menjejaskan tempo dan perancangan taktikal yang bakal diterapkan. Kem latihan pusat skuad kebangsaan dijangka akan bermula pada 24 September ini.

“Kemungkinan 26 atau 27 pemain yang akan panggil se­perti sebelum ini kerana saya mahukan kumpulan pemain lebih kecil agar sistem latihan dapat dijalankan dengan lebih teratur,” jelasnya.

Ketiadaan khidmat pemain tengah, Brendan Gan selepas pemain itu digantung akibat layangan kad kuning kedua dalam perlawanan bertemu Indonesia pada November tahun lepas bakal memberi peluang kepada penampilan pemain naturalisasi baharu, Liridon Krasniqi.

Tan Cheng
FOTO: FAM

Harapan Cheng Hoe agar saingan Liga Malaysia bersambung lebih awal juga menjadi kenyataan apabila Malaysia Football League (MFL) mengumumkan tarikh 26 Ogos sebagai sepak mula sekaligus memastikan pemain lebih bersedia dari segi kecergasan dan fizikal.

“Selepas kita tahu saingan Liga M bakal bermula pada 26 Ogos, kami telah meneliti jadual dan kemungkinan kem latihan pusat skuad kebangsaan Harimau Malaya akan dilakukan pada 24 September selepas tamat saingan Liga Super dan Liga Premier.

“Saya tidak tahu sama ada masa itu mencukupi atau tidak untuk barisan pemain yang akan dipilih melakukan persiapan rapi sebelum pasukan bertolak ke Bahrain untuk aksi persahabatan antarabangsa pada 2 Oktober.

“Apa yang saya boleh harap­kan adalah barisan pemain boleh mendapatkan intensiti permainan kompetitif memandangkan saingan liga akan berlangsung selama sebulan dan mereka yang dipanggil tidak mempunyai sebarang masalah kecergasan,” katanya.

Sebagai persiapan menghadapi baki 3 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengatur dua aksi persahabatan menentang Bahrain pada bulan Oktober dan Kuwait pada bulan November.

Negara dari Asia Barat menjadi pilihan FAM bagi memastikan skuad Harimau Malaya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental kerana baki 3 perlawanan kumpulan G bakal menghadirkan tentangan sengit.

Malaysia kini berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand.

Justeru itu, FAM enggan melepaskan peluang untuk menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Tan Cheng Hoe Harap Liga Malaysia Bersambung Lebih Awal Untuk Persiapan Skuad Harimau Malaya

Kuwait Uji Kekuatan Harimau Malaya Di Stadium Nasional Bukit Jalil Pada Bulan November

Vietnam Bertemu Iraq Di Hanoi Sebagai Ujian Terakhir Sebelum ‘Hadap’ Harimau Malaya