Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan senarai 25 pemain yang dipilih mewakili skuad bawah 19 tahun kebangsaan ke Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Jakarta, Indonesia bermula pada 2 hingga 15 Julai 2022.

Menurut ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras, semua 25 pemain yang dibawa pada kejohanan ini akan mendapat peluang untuk beraksi memandangkan konsep penggiliran akan digunakan bagi menghadapi kejohanan bercorak karnival.

“Saya perlukan 25 pemain ini untuk melakukan penggiliran. Kita tidak boleh tertumpu pada kesebelasan utama untuk satu perlawanan semata mata.

“Jadi saya akan menggunakan sepenuhnya pemain yang ada bagi menghadapi aksi peringkat kumpulan,” katanya.

Malaysia akan memulakan cabaran Kejuaraan B-19 AFF 2022 dengan perlawanan menentang Kemboja pada 5 Julai; Singapura pada 7 Julai; Timor Leste pada 9 Julai di Stadium Madya Senayan manakala bagi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Laos pada 11 Julai, ia akan diadakan di Stadium Patriot Candrabhaga.

Justeru, Hassan tidak mahu anak buahnya memandang mudah ‘ancaman’ yang boleh diterbitkan daripada empat lagi pencabar dalam Kumpulan B iaitu Laos, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.

“Walaupun di atas kertas, kita tidak berada dalam kumpulan maut seperti Thailand, Indonesia sebagai tuan rumah dan Vietnam, tetapi kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa.

“Kita menang dua aksi persahabatan menentang Singapura tetapi saya percaya mereka akan melakukan rombakan untuk menghadapi kejohanan ini.

“Kita tidak terlalu memikirkan mengenai sasaran (separuh akhir) yang diletakkan kerana lebih penting untuk kita memberi tumpuan dalam satu perlawanan ke perlawanan,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Malaysia Antara 4 Pasukan Terbaik Dunia Alami Kenaikan Mendadak Dalam Ranking FIFA

Pestabola Merdeka Mungkin Akan Kembali

Menteri Anggap Sorakan Penyokong Punca Pemain Harimau Malaya Hilang Fokus

Kim Pan-gon Ucap Terima Kasih Kepada TMJ Kerana Menyalur 15 Pemain JDT Untuk Harimau Malaya

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama