Seramai 24 daripada 25 pemain yang dipanggil telah melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Mereka berkumpul sebagai persiapan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa di kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September 2022.

Bagaimanapun, sesi latihan pertama itu tidak disertai oleh pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad kerana dilaporkan kurang sihat manakala seorang pemain dari luar negara, Dion Cools akan terus terbang ke Chiang Mai menyertai pasukan.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon telah mengekalkan seramai 17 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.

Lapan pemain baharu yang dipanggil ialah dua penjaga gol Rahadiazli Rahalim dan Kalamullah Al Hafiz, serta Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi, Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Zhafri Yahya dan Declan Lambert.

“Kami akan membawa semua 25 pemain ke Thailand dan berharap mereka dapat memberikan aksi terbaik,” kata jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mahu momentum kejayaan pada Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu dapat diteruskan dalam saingan King’s Cup 2022 di Chiang Mai.

Beliau menggesa para pemain supaya fokus sepanjang sesi latihan yang dikendalikan oleh Kim Pan-gon dan memberikan sepenuh komitmen sepanjang kem latihan pusat kali ini kerana 25 pemain yang dipanggil ini akan dinilai prestasi mereka menjelang dua misi lebih besar selepas ini.

Selepas 48th King’s Cup 2022, skuad Harimau Malaya akan menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 20 Disember ini dengan Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura menjadi lawan dalam saingan Kumpulan B, sebelum beraksi pula pada pentas akhir Piala Asia 2023, tahun hadapan.

Mereka akan berlepas ke Chiang Mai, Isnin ini bagi menghadapi tuan rumah, Thailand pada perlawanan pertama pada Khamis, 22 September sebelum berdepan sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan pada Ahad, 25 September 2022.