23 pemain muda telah dipilih oleh ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Hassan Sazali Mohd Waras bagi menghadapi saingan Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Ulaanbaatar, Mongolia, 14 hingga 18 September 2022.

Mereka sudah pun berlepas semalam dan menyasarkan untuk mengutip 9 mata bagi menempah tiket beraksi dalam saingan Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan.

Hassan Sazali telah mengekalkan 16 daripada 25 pemain dari skuad yang menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022 Indonesia pada 15 Julai lalu dan 10 daripada 20 pemain dari skuad yang muncul naib juara 4th International U-19 Football Thanh Nien Tournament 2022 Vietnam pada 11 Ogos lalu.

Lima pemain – Syahmi Adib Haikal, Danish Irfan, Izrin Ibrahim, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Aizat Aiman berada dalam skuad untuk kedua-dua kejohanan berkenaan manakala dua pemain baharu yang ditampilkan kali ini ialah Marwan Rahman dan Oswyn Lim.

Skuad Harimau Malaya B-19 bakal memulakan cabaran menentang pasukan tuan rumah, Mongolia pada Rabu, 14 September 2022 (5.00 petang); Sri Lanka pada Jumaat, 16 September 2022 (5.00 petang) dan Republik Korea pada Ahad, 18 September 2022 (12.30 tengah hari), dengan kesemua perlawanan di Stadium MFF, Ulaanbaatar.

Hanya juara kumpulan sahaja layak secara automatik ke Piala Asia B-23 tahun depan bersama pasukan tempat kedua terbaik kumpulan.

Menurut Hassan Sazali, walaupun Malaysia berada satu kumpulan dengan pasukan kuat seperti Korea Selatan, namun beliau tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya.

“Sasaran saya sebolehnya adalah maksimum sembilan mata untuk kita layak secara merit, perancangan saya adalah untuk mendapatkan dua kemenangan awal menentang Mongolia dan Sri Lanka.

“Dengan Korea Selatan, saya harap kita mampu sekurang-kurangnya seri dengan mereka supaya peluang kita luntuk ke peringkat seterusnya lebih cerah,” jelasnya.

Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad Malaysia B-19 beraksi di pentas Asia ialah pada tahun 2018 ketika dibawah kendalian Bojan Hodak. Antara pencapaian terbaik negara ialah layak ke suku akhir pada tahun 2004.