Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, mengesahkan sebanyak 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Ia bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya menjual 59,000 keping tiket perlawanan Separuh Akhir 1 Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Malaysia menentang Thailand bermula pada hari ini.

“Situasi ini tidak dapat dielakkan yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

“Diharap para penyokong Harimau Malaya dapat meneruskan sokongan padu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand, Sabtu ini, jam 8.30 malam,” katanya.

FAM juga memutuskan untuk mengekalkan harga sama seperti perlawanan peringkat kumpulan bagi tiket Separuh Akhir 1 Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Malaysia lwn Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini (7 Januari 2023).

Ini bermakna, tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium sejurus selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 setakat ini,” jelas Noor Azman.

Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu hanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula jam 3.00 petang ini. Tiada penjualan di kaunter.

Selepas perlawanan itu, skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang ke Bangkok pada hari Ahad bagi menghadapi pula perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Thammasat pada Selasa, 10 Januari 2023.

Dalam pada itu, FAM turut ingin menasihati para penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian rasmi. Ini kerana, bagi perlawanan menentang Singapura semalam, FAM telah mendapati bahawa terdapat penjualan tiket palsu.

FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku.