20 kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal bertemu dalam satu mesyuarat khas melalui perbualan sidang video pada hari jumaat ini bagi membincangkan tentang pelbagai cara untuk menamatkan saingan musim ini susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin teruk di United Kingdom.

Menurut laporan daripada South China Morning Post, terdapat cadangan untuk melangsungkan baki perlawanan di gelanggang berkecuali dengan negara China menjadi pilihan utama berdasarkan situasi semasa wabak pandemik itu.

China sebelum ini mengumumkan kes baharu di negara itu semakin menunjukkan pengurangan dan penularan keseluruhan kekal pada tahap rendah. Banyak wilayah mula menarik balik perintah darurat, manakala perniagaan kembali pulih seperti sebelumnya.

Hal sama turut berlaku di pintu masuk dan keluar China, apabila 87 peratus daripadanya kembali beroperasi.

EPL kini ditangguhkan sehingga 30 April dan setakat ini masih belum ada tarikh baharu yang ditetapkan bagi meneruskan saingan liga.

Selepas mengharungi 29 perlawanan, Liverpool masih kekal ditangga teratas dengan kelebihan 25 mata dengan pencabar terdekat dan hanya perlukan dua kemenangan sahaja untuk menamatkan penantian selama 30 tahun sebagai juara.

Beberapa kelab EPL mengalami masalah kewangan dan turut memberi kesan kepada penajaan serta hak penyiaran. Justeru itu, mereka melihat China sebagai jalan penyelesaian untuk mendapatkan semula keuntungan.

Cadangan yang mengarut

Bagaimanapun, salah seorang dari pegawai EPL dipetik dalam The Athletic menyifatkan cadangan mengadakan perlawanan di China tidak mungkin berlaku dan ianya tidak masuk akal

“Negara yang terus dicadangkan ialah China. Ia tidak masuk akal. Ia adalah idea gila dan saya fikir ia akan ditolak mentah-mentah. Sekiranya kami mengambil Liga Perdana dan memindahkannya ke negara lain, kami akan menjadi bahan ketawa.

“Seseorang mengatakan kami mabuk. Saya rasakan mereka memang betul pada masa ini dan saya faham kenapa orang berfikir demikian,” katanya.

Selain itu, terdapat juga cadangan kedua untuk menyambungkan saingan EPL seperti konsep format kejohanan Piala Dunia dimana semua perlawanan akan dijalankan tanpa penonton setiap hari Sabtu dan Rabu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak dunia melalui pautan dibawah. 

Belum Sempat Bertemu Malaysia, UAE Pecat Jurulatih Buat Kali Kedua

Liverpool Dikecam Kerana Pakai Duit Rakyat

Ramalan Arsene Wenger Kini Menjadi Kenyataan, Nguyen Tuan Anh Pemain Paling Berbakat Di Mata ‘Le Professeur’