Malaysian Football League (MFL) memaklumkan bahawa perlawanan membabitkan Perak FC II dan Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh pada 7 Mei 2021 (Jumaat) ini terpaksa ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan mengesahkan keputusan pindaan jadual itu terpaksa dibuat selepas dua pemain Kelantan FC telah didapati positif COVID-19.

Jelas Dato’ Ab Ghani, dua pemain Kelantan FC itu terbabit kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya selepas didapati positif dengan wabak tersebut.

“Kedua-dua pemain Kelantan FC itu yang telah didapati positif menerusi Ujian Calitan RTK Antigen dan PCR yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Isnin, 3 Mei lalu. Pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor 2 mengikut SOP COVID-19 yang ditetapkan.

“Sementara pemain-pemain lain tidak berdepan masalah di mana status mereka adalah negatif COVID-19 tetapi perlawanan Kelantan FC bertemu Perak II terpaksa dipinda.

“Ini kerana naratif kuarantin yang dituntut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 10 hari dan tempoh tersebut telah melepasi tarikh jadual perlawanan mereka pada Jumaat ini.

“Pihak sekretariat MFL sedang meneliti punca kes positif COVID-19 ini berlaku untuk dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam pada itu, MFL turut mengumumkan bahawa empat perlawanan Liga Super dan Liga Premier akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan.

Empat perlawanan itu melibatkan dua aksi Liga Super di antara UiTM FC dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 8 Mei 2021 dan Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 9 Mei 2021.

Manakala dua lagi perlawanan yang akan berlangsung tanpa penonton adalah aksi Liga Premier di antara Skuad Projek FAM-MSN dengan Terengganu FC II di Stadium UiTM Shah Alam pada 7 Mei 2021 dan Selangor FC 2 menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada 8 Mei 2021.

Berdasarkan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan PKP dilakukan di beberapa daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang bermula pada 6 hingga 17 Mei 2021 berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Dengan mengambil kira ketetapan terbaharu itu, tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.

Dato’ Ab Ghani berkata, pihak badan pengendali Liga Malaysia itu akan mengetatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP.

“MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Selangor jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai-pegawai perlawanan dan petugas- petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

“Jadi, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak,” katanya.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Liga Amatur Divisyen 4 Thailand Ada 179 Kelab Bertanding Merebut 6 Slot Ke Saingan Thai League 3 Musim 2022

TERKINI: Kedah Dalam ‘Kumpulan Maut’ AFC Cup 2021 Zon ASEAN, Terengganu Miliki Laluan Selesa

Media Jepun Ini Dedahkan Honda Keisuke Terima Tawaran Untuk Beraksi Dengan Pasukan Selangor

Sumber