Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemain daripada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dijangkiti virus Influenza iaitu jangkitan hidung, tekak dan paru-paru.

Menurut kenyataan daripada Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards 10 pemain dari pasukan senior JDT, empat dari JDT II, ​​tiga dari JDT III dan beberapa jurulatih serta kakitangan telah diuji positif virus tersebut.

“Pihak kelab telah mengambil langkah untuk mengawal penularan virus dan menghantar semua pemain, jurulatih dan kakitangan untuk pemeriksaan kesihatan. JDT juga telah melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua,” katanya.

Bagaimanapun, nama 10 pemain skuad harimau selatan yang terlibat tidak didedahkan dan mereka dijangka tidak beraksi dalam perlawanan Liga Super menentang Petaling Jaya City pada hari rabu ini di Stadium Larkin.

Apakah itu virus influenza?

Influenza atau flu bukan selesema biasa tetapi jauh lebih buruk dan berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa serta boleh menyebabkan kematian.

Virus Influenza terbahagi kepada banyak jenis dan dikategorikan sebagai influenza A, B dan C. Virus jenis A adalah penyebab utama flu terhadap manusia dan haiwan. Jenis B pula kurang biasa tetapi boleh menyebab­kan penyakit yang menyerupai jenis A manakala influenza jenis C pula mengakibatkan selesema sederhana dan jarang dijangkiti.

Influenza-A-Virus

Gejala influenza pada kebiasaannya muncul secara tiba-tiba. Pesakit biasanya menghidap demam yang tinggi, batuk, sakit kerongkong, berhingus, sakit otot dan badan, sakit kepala dan keletihan. Gejala ini juga boleh membawa kepada kemurungan.

Komplikasi yang disebabkan influenza antara lain termasuk pneumonia (jangkitan paru-paru), sinus dan telinga. Jangkitan ini juga boleh memburukkan penyakit kronik sedia ada seperti asma, kegagalan jantung atau kencing manis. Pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.