Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima cadangan daripada enam pasukan yang memohon supaya tiada proses penyingkiran daripada Liga Super ke Liga Premier pada musim hadapan.

Cadangan itu bermaksud 2 pasukan terbawah Liga Super musim ini tidak disingkirkan manakala 2 pasukan teratas Liga Premier akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pasukan yang bertanding ialah 14 pasukan.

Menurut laporan daripada Bernama, Ghani menjelaskan perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh terdekat untuk pertimbangan sewajarnya.

Musim ini, Felda United dan PDRM berada pada kedudukan dua pasukan terbawah CIMB Liga Super manakala saingan Liga Premier menyaksikan tiada sebarang penyingkiran ke Liga M3.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata badan induk itu tidak menghalang sekiranya MFL ingin mengubah format liga yang sedia ada.

Sebelum ini, MFL mengambil keputusan mengehadkan perlawanan Liga Super dan Liga Premier daripada 22 perlawanan kepada 11 perlawanan sahaja pada musim ini, susulan penularan pandemik COVID-19.

“Bagi AFC, kami akan menghormati jika keputusan itu diambil oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL, selain perkara itu ada dibincangkan bersama oleh semua pihak yang berkepentingan yang mewakili semua pasukan yang bertanding,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL.

“Dalam situasi penularan COVID-19 masih berleluasa, mungkin banyak pertimbangan perlu diperhalusi termasuk soal promosi serta penurunan dan bagi AFC, asalkan sesuatu pertandingan itu masih berjalan pada musim ini, kami boleh menerima pendekatan yang dipilih, asalkan ia bukan bersifat di luar semangat kesukanan dalam sesuatu pertandingan,” tegas Windsor.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Piala Malaysia 2020: Persiapan Pasukan Lembah Klang Terjejas Kerana PKPB

8 Pengadil FAM Berdepan Tindakan Hukuman, 4 Daripadanya Digantung Tugas

Azmeer Yusof Dedahkan Punca Utama Kenapa Beliau Tinggalkan Skuad Helang Merah