12 orang penyokong telah maut dan ratusan cedera pada hari Sabtu lalu ketika penyokong cuba merempuh sebuah stadium El Salvador.

Telah berlaku suasana yang terlalu sesak dan melebihi kapasiti di dalam stadium.

Laporan awal menunjukkan sebilangan besar peminat telah cuba memasuki Stadium Cuscatlan di ibu negara Amerika Tengah, San Salvador, untuk menonton kejohanan domestik antara pasukan Alianza dan FAS.

Permainan itu dihentikan apabila kakitangan kecemasan memindahkan orang ramai dari stadium, di mana ratusan pegawai polis dan tentera telah berkumpul ketika siren ambulans berbunyi.

“Bola sepak Salvador sedang berduka,” kata pengarah Polis Sivil Nasional (PNC), Mauricio Arriaza ketika mengesahkan jumlah kematian seramai 12 orang penyokong maut.

Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, presiden FIFA Gianni Infantino mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa, menyifatkan rempuhan itu sebagai “tragis”.

Antara mangsa yang terselamat, Sandra Guzman, 40, meninggalkan hospital di ibu negara pagi Ahad dengan balutan di lutut kirinya, berjalan dengan susah payah di sebelah rakannya, Javier Ramirez, 31.

Kedua-duanya berkata ia adalah “kali pertama dan terakhir” mereka mengalami nasib malang kerana mereka tidak akan kembali ke stadium lagi selepas ini.

“Sekumpulan besar orang menimpa saya. Saya tidak boleh bernafas, mereka mencekik saya,” kata Guzman kepada AFP.

Ketika di depan pintu pagar stadium, dia berkata “Orang tolak saya untuk masuk, mereka tidak memberi saya peluang untuk berpatah balik.”

“Apabila saya datang melihat situasi itu, saya panik, ramai orang di atas saya.”

“Saya pengsan, dan apabila saya bangun saya berada di hospital,” katanya.

Menteri Kesihatan Francisco Alabi berkata sebelum ini bahawa rangkaian hospital negara itu “menyediakan rawatan perubatan kepada semua pesakit”.

Carlos Fuentes, jurucakap kumpulan perkhidmatan kecemasan Comandos de Salvamento, berkata mereka sedang merawat lebih 500 orang.

Kira-kira 100 orang dalam keadaan serius dibawa ke hospital, dengan beberapa menunjukkan tanda-tanda asfiksia dan jenis trauma lain, kata Fuentes.

Rempuhan itu nampaknya bermula selepas pintu stadium tumbang, menyebabkan orang ramai berkumpul terus menyerbu masuk, katanya.

Sekurang-kurangnya dua daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal, menurut polis.

Presiden El Salvador Nayib Bukele berkata PNC dan Pejabat Peguam Negara akan menyiasat kejadian itu dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.

Ini kerana ada pihak yang disyaki telah menjual tiket berlebihan melebih kapasiti.

“Semua orang akan disiasat: pasukan, pengurus, stadium, penyelia perlawanan, liga, persekutuan,” kata Bukele di Twitter.

Dia memberi amaran bahawa “siapa pun yang bersalah, mereka tidak akan terlepas dari hukuman”.

Arriaza dari PNC berkata siasatan akan mencari siapa yang  bertanggungjawab, sama ada atasu tindakan atau angkara beberapa orang dalam.

Polis juga sedang menyiasat untuk mengetahui “mengapa penyokong membuat keputusan untuk memecah salah satu pintu di sebelah selatan” stadium itu sahaja.

Di kawasan yang sama, terdapat masalah dengan pembaca QR pejabat tiket, katanya. Seolah olah ada sesuatu yang tidak kena.

Persekutuan Bola Sepak Salvador (Fesfut) berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka ‘sangat kesal’ dengan kejadian yang berlaku di stadium dan “menyatakan solidaritinya” dengan keluarga mereka yang “terkena dan terbunuh”.

“Fesfut akan segera meminta laporan mengenai apa yang berlaku dan akan menyampaikan maklumat berkaitan secepat mungkin,” katanya.

Disebabkan insiden itu, persekutuan berkata “semua bola sepak digantung di peringkat kebangsaan” pada Ahad.

Tragedi itu berlaku tujuh bulan selepas 135 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak, terbunuh dalam rempuhan selepas perlawanan bola sepak di Malang, Indonesia