Teka-teki mengenai pasukan yang bakal beraksi dalam pusingan 16 kempen Piala Dunia 2022 di Qatar sudah pun terjawab apabila semua pasukan selesai kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Malah, aksi pusingan 16 juga akan berlangsung pada jam 11.00 malam ini yang menyaksikan Belanda akan membuat perhitungan dengan Amerika Syarikat di Khalifa International Stadium.

Kemudiannya aksi Argentina menentang Australia pula akan menemui para peminat bola sepak dunia pada jam 3.00 pagi nanti.

Namun menjelang kehangatan dua aksi tersebut, ayuh kita imbau kembali beberapa fakta menarik untuk tatapan anda selepas berakhirnya aksi di peringkat kumpulan.

1) 120 jaringan telah dihasilkan dengan 90 penjaring berbeza tidak termasuk dua gol sendiri oleh Nayef Aguerd dan Manuel Neuer.

2) 43 gol dihasilkan pada separuh masa pertama dan 77 lagi hadir pada babak kedua.

3) 60 gol terhasil menerusi kaki kanan, 37 kaki kiri dan 21 menggunakan kepala. Ia tidak termasuk dua gol sendiri yang terhasil.

4) Cody Gakpo (Belanda) dan Alvaro Morata (Sepanyol) menjadi pemain yang menjaringkan gol pada ketiga-tiga perlawanan.

5) Penjaring terbanyak ketika ini dikongsi lima pemain dengan tiga gol iaitu Enner Valencia, Cody Gakpo, Alvaro Morata, Marcus Rashford dan Kylian Mbappe.

6) 9 sepakan penalti berjaya disempurnakan manakala lima lagi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol.

7) Portugal dan Argentina menjadi pasukan yang menerima sepakan penalti terbanyak iaitu dua kali.

Portugal berjaya menyempurnakan kedua-duanya menerusi Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes. Manakala Lionel Messi pula menyudahkan sepakan ketika bertemu Arab Saudi manakala hampa pada sepakan kedua menentang Poland.

8) England tidak langsung menerima sebarang kad kuning manakala Arab Saudi penerima kad kuning terbanyak dengan 14 kad.

9) Wayne Hennessey menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad merah manakala pengurus Korea Selatan, Paulo Bento menerima nasib sama pada aksi kedua menentang Ghana.

Setakat ini hanya 2 kad merah dilayangkan kepada pemain dimana seorang lagi ialah Vincent Aboubakar dari Cameroon.

10) Penjaga gol Poland, Wojciech Tomasz Szczęsny cemerlang dengan menafikan sepakan penalti daripada Salem Al-Dawsari dan Lionel Messi.

11) Tiada pasukan yang dapat mencatatkan rekod kemenangan tiga perlawanan berturut-turut.

12) Berikut merupakan statistik yang menunjukkan pecahan jaringan terhasil mengikut jarak masa 15 minit di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022:

Minit pertama hingga ke-15: 9 gol

Minit ke-16 hingga ke-30: 12 gol

Minit ke-31 hingga ke-45: 19 gol

Masa kecederaan babak pertama: 3 gol

Minit ke-46 hingga ke-60: 21 gol

Minit ke-61 hingga ke-75: 27 gol

Minit ke-76 hingga ke-90: 18 gol

Masa kecederaan babak kedua: 11 gol