Seramai 11 pemain dari skuad Malayan Tigress yang baru pulang dari saingan kelayakan Piala Asia Wanita AFC 2022 di Palestin kini mengorak pula langkah mereka ke menara gading selepas menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi 2021 itu telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sambil disaksikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram serta dua Exco FAM, Dato’ Suraya Yaacob dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, masing-masing selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Seramai sembilan pemain diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala dua pemain lagi ditawarkan untuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sembilan yang ditawarkan ke UPNM ialah Nurul Azurin Mazlan, Eva Olivianie Antinus, Waitie Taming, Nurfatin Rozani, Henrietta Justine, Nur Syafinaz Abdul Rajak, Felicia Loudea Thomas, Nor Ezza Ashikin dan Nurul Arliana Nabila Mohamad Ramadhan manakala Nuralyaa Natasha Zulkefli dan Grace Handirian ditawarkan ke UiTM.

Penyerang Malayan Tigress, Henrietta  yang bakal mengikuti program Diploma Kecergasan Pertahanan meluahkan rasa berbesar hati kerana telah diberi peluang untuk menyambung pelajaran di UPNM.

“Mewakili rakan pasukan yang turut menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran hari ini, saya ingin berterima kasih kepada KPT serta FAM kerana telah memberi peluang kepada kami untuk meraih satu lagi kejayaan dalam bidang pelajaran.

“Semoga ia dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk sentiasa melakukan yang terbaik, tidak kira di mana atau pun kekangannya.

“Ini juga membuktikan bahawa ada laluan untuk seorang pemain bola sepak melanjutkan pelajaran ke menara gading,” kata Henrietta.

Tambahnya lagi, keputusan positif yang dibawa pulang selepas meraih kemenangan ke atas Palestin September lalu disifatkan sebagai kejayaan bersama dalam usaha mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad bola sepak wanita negara:

Kelayakan Piala Asia Wanita 2022: Malaysia Tewas Pada Aksi Pembukaan

Kelayakan Piala Asia Wanita 2022: Malaysia Raih Kemenangan Pertama

Celine Chuang, Pemain Wanita Pertama Malaysia Beraksi Dengan Bayern Munich