Selepas tirai saingan bola sepak Liga Malaysia dibuka dengan perlawanan CIMB Piala Sumbangsih 2020 diantara JDT bertemu Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, telah berlangsung kira-kira 11 lagi perlawanan lain dalam CIMB Liga Super dan juga Liga Premier Malaysia 2020.

Untuk saingan CIMB Liga Super 2020, 6 perlawanan telah berlangsung di 6 venue dimana 12 pasukan mula beradu kekuatan memburu kejuaraan liga musim 2020. Berdasarkan data yang diperolehi, secara keseluruhannya 82,082 orang penonton telah hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing ketika perlawanan LS1.

Dari jumlah itu, kita dapat mengetahui bahawa purata kehadiran adalah kira-kira 13,680 orang bagi saingan CIMB Liga Super 2020 selepas tamat perlawanan LS1 ini.

Manakala bagi saingan Liga Premier Malaysia 2020 pula, 6 perlawanan melibatkan 12 pasukan turut berlangsung di 6 buah venue, dan jumlah kehadiran penonton secara keseluruhan adalah 20,630 orang.

Ini menjadikan purata kehadiran penonton ke stadium bagi aksi Liga Premier musim 2020 ini adalah 3,438 orang selepas tamat perlawanan LP1.

3 Venue Catat Kehadiran Kurang Dari 1,000 Penonton

Dari semua 12 venue perlawanan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020 yang telah berlangsung, 3 stadium merekodkan jumlah kehadiran yang kurang dari 1,000 orang penonton.

2 daripadanya adalah dalam aksi CIMB Liga Super dimana Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras mencatatkan kehadiran paling rendah, 446 orang penonton, dalam LS1 ketika perlawanan PDRM bertemu Sabah.

Satu lagi venue adalah Stadium Tun Abdul Razak, Jengka yang merekodkan jumlah kehadiran seramai 546 orang ketika pasukan Felda United bertemu pasukan PJ City FC.

Tamat saingan LP1, hanya 1 venue sahaja yang mencatatkan kehadiran penonton ke stadium kurang dari 1,000 orang dalam saingan Liga Premier 2020 iaitu di Stadium UiTM Shah Alam ketika pasukan Selangor II bertemu Terengganu II apabila hanya 814 orang penonton hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Baca juga artikel lain berkaitan Liga Malaysia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.

Mehmet Durakovic Puji Padang SSMZA, Satiananthan Kritik Padang Stadium Darul Makmur

Padang Dan Bilik Persalinan Punca Stadium MBPJ Tidak Boleh Digunakan, MFL Arah PJ City Cari Gelanggang Lain

Enam Pemain Import Tumpuan Saingan Liga Super 2020