Malaysia Football League (MFL) hari ini mengumumkan sebanyak 12 pasukan yang bertanding di Liga Super 2021 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super 2022 sekiranya memenuhi syarat.

Kelab-kelab yang diberikan lesen kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, UiTM FC, Melaka United FC, Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC.

Bagaimanapun, Melaka United FC diberikan lesen kebangsaan dengan sekatan; denda RM15k dan diberikan amaran kerana melanggar tarikh akhir penyelesaian pembayaran tertunggak mereka membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu pada 30 September 2021.

“Pembayaran denda yang dipersetujui haruslah dijelaskan pada 20 Nov 2021 dan mereka dikehendaki menghantar bukti pembayaran kepada Pelesenan Kelab MFL dan jika tidak, perkara tersebut akan dikemukakan kepada FIB Perlesenan MFL Club untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan daripada Pengerusi FIB Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif

Hanya 10 pasukan Liga Super diberikan lesen AFC 2022

Daripada 12 kelab Liga Super, 10 daripada kelab tersebut lulus Pelesenan AFC iaitu JDT, KDA FC, UiTM FC, Perak FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC bagi membolehkan kelab-kelab ini bertanding dalam Pertandingan Kelab AFC 2022 sekiranya layak manakala Sri Pahang FC tidak memohon lesen AFC.

Satu lagi pasukan, Melaka United FC gagal mendapatkan lesen AFC mereka kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pelesenan AFC.

Dalam usaha pasukan diberikan lesen, mereka harus dinilai dan mematuhi enam kriteria utama, iaitu: Sporting, Infrastruktur, Personal & Pentadbiran, Undang-undang, Kewangan dan Perniagaan yang dinyatakan dalam MFL Club Licensing Regulations Edition 2021.

Lesen AFC dan kebangsaan yang diberikan hanya berlaku untuk satu musim untuk musim 2022 dan sepanjang musim, jika ada kelab yang didapati melanggar artikel yang terdapat dalam MFL Club Licensing Regulations Edisi 2021 atau atau mana-mana syarat untuk pengeluaran lesen tidak lagi dipenuhi, lesen mereka boleh ditarik balik.

Sebagai langkah proaktif, MFL menuntut setiap pasukan menyerahkan surat pernyataan berkanun yang membuktikan bahawa mereka bebas dari sebarang pembayaran / kelewatan membayar gaji, KWSP, LHDN dan Perkeso kepada MFL pada 15 Disember 2021, menjelang Liga Super dan Liga Premier 2022 yang akan datang .

Sekiranya terbukti bahawa kelab-kelab yang telah memperolehi lesen untuk tahun 2022 dan mempunyai tunggakan gaji yang belum dapat diselesaikan dengan pemain dan pegawai pada akhir musim ini iaitu pada bulan November 2021 dan pada pengisytiharan berkanun mereka, maka larangan perpindahan pemain segera akan dikenakan kepada kelab masing-masing.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Hanya 5,000 Hingga 20,000 Penyokong Dibenarkan Masuk Ke Stadium

Kuala Lumpur City Jalin Hubungan Kerjasama Dengan Kelab Gergasi Iran, Sepahan SC

Jaringan Park Tae-Su ‘Mendunia’, Pakar Cadang Hantar Ke Puskas

KFA Akan Berunding Dengan LHDN Untuk Hapus Kira Tunggakan Cukai Tahun Lalu