Seramai 10 jurulatih pasukan Liga Malaysia selamat tiba di tanah air awal pagi tadi selepas menimba ilmu di Jepun bagi mengikuti fasa kedua Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul keempat yang berakhir petang semalam.

Kursus ini disertai oleh 20 jurulatih dari dalam dan luar negara serta terbuka kepada jurulatih yang mempunyai lesen “A” AFC selama dua tahun dan mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan atau kelab profesional. Lesen Diploma Profesional AFC ini merupakan antara lesen tertinggi dalam karier jurulatih bola sepak.

Antara jurulatih pasukan daripada Liga Malaysia yang terlibat ialah Dollah Salleh (Pahang), Mehmet Durakovic (Perak), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Nidzam Jamil (FELDA Utd), Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Kelantan), K. Devan (PJ City), Sulaiman Hussin (UKM FC) dan Zainal Abidin Hassan (Melaka United).

Turut menyertai kursus ini ialah bekas jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti dan bekas penyerang Sarawak serta Indonesia iaitu Kurniawan Dwi Yulianto.

72256416_2436527959777287_2539161086024744960_n
FOTO: FAM

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi pengenalan struktur kelab oleh Pengarah Teknikal, Tetsuya Nishiwaki, sesi perkongsian analisis latihan pasukan utama bersama ketua jurulatih, Takuya Takagi dan temu ramah bersama Pengarah Akademi, Jun Nakamura.

Barisan jurulatih berpeluang untuk menonton dan menganalisis perlawanan pasukan kebangsaan Jepun, Samurai Blue menentang Mongolia di Stadium Saitama 2002 sempena pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

73002923_2436528063110610_7607648646254821376_n
FOTO: FAM

Satu lagi perlawanan sepatutnya ditonton oleh barisan jurulatih melibatkan pasukan Omiya Ardija menentang Avispa Fukuoka yang dijadualkan pada hari Sabtu terpaksa dibatalkan ekoran Taufan Hagibis yang melanda negara Jepun.

Menurut kenyataan daripada FAM, analisis terhadap pasukan di liga Jepun tetap diteruskan di hotel kediaman para jurulatih sementara berlindung daripada serangan ribut Taufan Hagibis di mana mereka menonton dan menganalisis perlawanan membabitkan pasukan JEF United menentang V-Varen Nagasaki di Stadium Atletik Nagasaki.

Baca artikel menarik mengenai bidang kejurulatihan dalam sukan bola sepak melalui pautan dibawah.

Sewa Lesen Kejurulatihan, Cerita Dongeng Atau Realiti Dalam Bola Sepak Malaysia

Jurulatih Liga Malaysia Menuntut Ilmu Sains Sukan Di Universiti Malaya

B.Satianathan Puji Pendekatan MFL Memajukan Kualiti Jurulatih Tempatan