Ketika ini kerajaan sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari sehingga 31 Mac 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 daripada terus meningkat.

Antara pematuhan yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah kekal berada di rumah sepanjang masa dan tidak bercuti ke luar negara buat sementara waktu.

Namun, bagi peminat bola sepak, mereka pasti tiada perlawanan untuk ditonton kerana kebanyakan liga dari seluruh negara asia dan eropah telah ditunda susulan penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, mereka masih boleh mengisi masa lapang sepanjang tempoh ‘kuarantin’ di rumah untuk menonton beberapa filem dan dokumentari menarik berkaitan sukan nombor dunia itu melalui NETFLIX disamping menambah pengetahuan mengenai budaya bola sepak di luar negara.

Sunderland ‘Til I Die

Ini adalah dokumentari berkenaan kisah perjalanan kelab Sunderland yang penuh emosi. Ketika kelab itu sedang berusaha untuk berada di kelompok terbaik Liga Perdana Inggeris, mereka menghadapi pelbagai masalah sehingga tersingkir ke liga divisyen 2 (EFL Championship).

Selama bermain di EFL Championship pada musim berikutnya, nasib mereka masih tidak berubah sehingga tersingkir ke League One (divisyen 3) buat kali pertama dalam sejarah. Situasi itu mengundang kemarahan penyokong Sunderland dan benar-benar menguji kesabaran mereka.

Dokumentari ini akan mengajar anda apa erti menyokong sebuah pasukan bola sepak dan bagaimana mereka masih setia menyokong Sunderland sampai mati walaupun pasukan itu bermain dengan teruk.

Le K Benzema

https://www.youtube.com/watch?v=JAMJAOdXBEQ

Le K Benzema adalah filem dokumentari tentang penyerang prolifik dari Perancis, Karim Benzema.

Karim Benzema yang dikenali sebagai seorang yang beragama menceritakan tentang kehidupan peribadinya dan bagaimana beliau terlibat dalam dunia bola sepak sehingga menyertai kelab terkemuka dunia, Real Madrid.

Dalam dokumentari ini, anda akan mengenali sikap sebenar Benzema yang jenis pemalu, sopan dan seorang yang penyayang. Hubungan akrab pemain tersebut dalam jurulatih serta rakan sepasukan turut ditonjolkan dalam dokumentari ini.

Barça Dreams

Barca Dreams dianggap sebagai filem dokumentari yang sangat tepat dalam menggambarkan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona. Anda akan mempelajari bagaimana kelab ini bermula dan apakah falsafah bola sepak yang diterapkan sehingga membantu mereka meraih pelbagai kejuaraan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Ini juga merupakan sebuah filem dokumentari sesuai untuk ditonton oleh para peminat Barcelona dan mereka yang ingin mempelajari budaya bola sepak Sepanyol.

Ultras

Filem menarik tentang kehidupan seorang pemimpin Ultras Napoli selepas beliau dinafikan peluang untuk memasuki Stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukannya. ULTRAS adalah kisah persahabatan, tentang cinta dan semangat mereka terhadap bola sepak.

Bagaimanapun, terdapat dua kelompok penyokong tidak mempunyai fahaman yang sama dengan golongan ULTRAS sehingga mencetus pergaduhan besar diantara mereka.

Anda perlu menonton sendiri untuk mengetahui apakah makna sebenarnya ULTRAS dalam sukan bola sepak.

Summer of ’92

Ini adalah filem tentang zaman kegemilangan skuad kebangsaan Denmark dimana mereka telah menjuarai Piala Eropah buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 1992 selepas menewaskan pasukan pilihan, Jerman, 2-0.

Kejuaraan mereka ini menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak dunia ketika itu kerana Denmark bukanlah layak secara merit dalam kejohanan tersebut kerana mereka telah gagal di peringkat kelayakan.

Ketika kebanyakan pemain Denmark sudah pun pulang bercuti di tepi pantai dan kemudian mereka telah menerima satu berita mengejutkan bahawa Denmark dipilih menggantikan tempat Yugoslavia yang menarik diri daripada menyertai kejohanan eropah di Sweden.

Dalam filem ini, anda akan menyaksikan bagaimana mereka melakukan persiapan rapi dan pelbagai cabaran yang dihadapi sebelum muncul sebagai juara.

Bobby Robson: More Than a Manager

Ini adalah filem dokumentari yang mengangkat kisah kehidupan bekas pengurus England dan Newcastle United, Bobby Robson. Ia turut menggambarkan sisi buruk bola sepak profesional sepanjang Robson melatih beberapa kelab terkemuka di dunia.

Jika anda mempunyai minat untuk menjadi jurulatih atau menguruskan sebuah kelab bola sepak, ini adalah karya terbaik untuk ditonton.

Cahaya dari Timur: Beta Maluku

https://www.youtube.com/watch?v=bE1aovBAbGo

Sebuah filem dari Indonesia ini cukup menarik untuk ditonton oleh peminat bola sepak tempatan. Terdapat banyak pengajaran berguna yang boleh dipelajari.

Ia diambil daripada kisah sebenar mengenai seorang jurulatih ingin menyelamatkan anak-anak muda di kampungnya daripada konflik agama melalui sukan bola sepak.

Di tengah kesulitan hidup, jurulatih tersebut perlu membuat pilihan antara keluarga atau pasukan bola sepaknya. Beliau ditugaskan untuk mengendalikan pasukannya mewakili daerah Maluku bertanding di peringkat kebangsaan. Namun, beliau menghadapi cabaran besar daripada pemain yang berbeza agama dalam pasukan sehingga menimbulkan perpecahan.

Planet FIFA

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana badan induk bola sepak antarabangsa (FIFA) boleh terpalik dalam isu rasuah yang melibatkan Presiden terdahulu, Sepp Blatter dan pemilihan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022, ini adalah dokumentari yang perlu ditonton.

Penyiasat Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland mula mengesyaki Blatter selepas menyaksikan Michael Platini mengugut UEFA untuk keluar daripada FIFA dan menarik diri daripada Piala Dunia jika Blatter dipilih semula sebagai presiden.

Penaja-penaja besar FIFA juga telah mendesak melakukan perubahan kerana Piala Dunia merupakan ‘lubuk buat duit’ FIFA .  Lebih menarik, serbuan pihak polis telah dilakukan ke atas sebuah hotel mewah di Zurich dan ibu pejabat FIFA sendiri.

Pegawai kanan FIFA antara tujuh lelaki yang ditangkap atas permintaan pihak penyiasat anti rasuah AS. Tonton sendiri kesudahan dokumentari yang cukup mendebarkan ini.

Apache: The Life of Carlos Tevez

Jika anda merupakan peminat penyerang prolifik dari Argentina, Carlos Tevez, ini adalah salah satu drama filem amerika latin yang perlu ditonton. Ia mengisahkan tentang kehidupan Carlos Teves sejak kecil yang dibesarkan dalam keluarga yang susah sehingga dilatih menjadi seorang pemain bola sepak yang hebat.

Ia turut menceritakan sisi buruk dan konflik yang melanda keluarga Carlos Tevez sehingga memberi kesan kepada kerjaya bola sepaknya.

Boca Juniors Confidencial

Boca junior merupakan kelab terkuat di Argentina dan antara kelab yang terbaik di Amerika latin. Ini adalah dokumentari yang patut ditonton oleh pengurusan pasukan Liga Malaysia dan para jurulatih.

Ia menceritakan lebih mendalam mengenai persiapan kelab itu ketika pra musim, bagaimana proses memperkenalkan pemain baru dan apa jenis latihan yang dilakukan oleh mereka sebelum perlawanan sebenar.

Para pemain Boca Junior berhempas pulas mempamerkan aksi terbaik di atas padang kerana mereka mengamalkan mentaliti, “Memakai jersi Boca Junior bermakna anda wajib menang dalam setiap perlawanan”.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Ketua Jurulatih Myanmar ‘Perlekeh’ FIFA Ranking Malaysia, Salah Satu Sebab Perlawanan Persahabatan Dibatalkan

Wartawan Bola Sepak Australia Mula Bimbang Kelab A-League Bakal Terjerumus Ke Saingan AFC Cup

Ini 5 Syarat Untuk Kelab Jepun ‘Claim’ Pemain Muda Dengan Status ‘Homegrown Player’ Mereka